KEMBARA ZAKAT KEBANGSAAN 2025 DI DAERAH BATU PAHAT DAN PONTIAN

posted in: Umum, Zakat | 0

Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan 2025 yang melibatkan 60 buah kenderaan dan lebih 200 peserta, telah dilepaskan dengan rasminya oleh YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAINJ), bagi memulakan perjalanan mereka ke daerah Batu Pahat untuk menyantuni golongan asnaf serta masyarakat setempat.

Salah satu acara utama sepanjang kembara di Batu Pahat adalah pelancaran Projek Asnaf Tanaman Cili Fertigasi. Projek ini adalah hasil kerjasama antara MAINJ, Agrobank, FGV Holdings Berhad, Bank Negara Malaysia (BNM), dan Takaful Malaysia. Selain itu, peserta konvoi turut diberi peluang untuk menyaksikan lawatan tapak dan menyertai aktiviti penanaman benih cili di Bukit Geriba, Batu Pahat.

Setelah itu, rombongan meneruskan perjalanan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Peserai, di mana mereka disambut dengan mesra oleh YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.

Program ini berlangsung bersama warga pendidik dan murid-murid SK Peserai, Batu Pahat, dalam suasana yang ceria dan penuh mesra.

Pelbagai bentuk sumbangan telah disampaikan, antaranya:

✅LED skrin untuk kegunaan sekolah

✅ Pakaian sekolah kepada anak-anak asnaf

✅ Sumbangan Kotej Halal (oleh Waqaf Annur) kepada usahawan mikro bagi membantu mereka memperoleh sijil halal

✅ Manfaat Program Takaful Kasih Agro kepada waris yang layak

Selain itu, pelajar-pelajar Pendidikan Khas turut disantuni, dan semua murid SK Peserai diraikan dengan hidangan ayam goreng Muiz sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada mereka.

Semoga usaha kecil ini membawa kegembiraan, meringankan beban warga sekolah, dan memberi manfaat yang berpanjangan kepada seluruh komuniti.

Acara seterusnya membawa konvoi ke daerah Pontian.

Pelbagai aktiviti turut diadakan bersama penduduk setempat dalam suasana yang penuh ceria. Wajah-wajah gembira terpancar jelas, menunjukkan betapa lama mereka tidak berpeluang beraktiviti bersama. Di samping itu, kami juga berkesempatan untuk menyampaikan beberapa bentuk bantuan, antaranya:

1️⃣ Bantuan keperluan asas & wang tunai kepada para nelayan
2️⃣ Komputer riba untuk kegunaan pelajar dan komuniti
3️⃣ Sumbangan kekal untuk pembinaan musolla yang dijayakan oleh MAINJ & AMZ

Semoga usaha kecil ini memberi manfaat yang berpanjangan buat mereka semua.

Turut hadir dalam acara ini untuk meraikan ialah Tuan Haji Nasri bin Md Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, Tuan Haji Md Ramzi Ishak, Tuan Haji Kamaluddin Jamal, Pegawai Daerah Pontian, Datuk Haji Jefridin bin Atan, Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup, Pontian.

Ikuti media sosial rasmi MAINJ untuk info-info terkini:
https://www.facebook.com/zakatjohor