Sambutan 100 Tahun MAINJ

posted in: Umum | 0

JOHOR BAHRU, 30 September 2025 – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah meraikan sambutan ulang tahun ke-100 penubuhannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, dengan penuh meriah dan bersejarah. Majlis tersebut dihadiri oleh YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, yang mewakili DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, serta YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.

Sambutan 100 tahun MAINJ bukan sekadar meraikan pencapaian, tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan institusi ini dalam pembangunan ummah, kebajikan, dan sosial Islam di negeri Johor. Pelbagai program menarik telah diatur bagi memperingati jasa-jasa MAINJ, termasuk mempamerkan sumbangan tokoh-tokoh utama dalam memperkukuhkan institusi agama Islam di Johor.

Majlis ini juga memberi penghormatan kepada sejarah dan pencapaian MAINJ dalam memperkasakan masyarakat Islam Johor dengan pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan yang berkesan. Semoga sambutan ini terus menjadi pemangkin untuk masa depan yang lebih gemilang bagi ummah di Johor.

Turut hadir sama dalam sambutan bersejarah ini adalah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Dato’ Dr. Abdul Rahim Ramli, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor; YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, dan YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.