Perhimpunan Pagi Bersama Kakitangan MAINJ

posted in: Umum | 0

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Tuan Haji Mohd Radzi Haji Mohd Amin menzahirkan rasa syukur dan tahniah kepada seluruh warga MAINJ atas pencapaian cemerlang institusi itu sepanjang tahun 2025, khususnya kejayaan kutipan zakat yang mencecah RM449.0 juta, melepasi sasaran asal sebanyak RM423.5 juta.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Pagi Bersama Kakitangan MAINJ, yang merupakan perhimpunan kali kedua beliau bersama warga kerja dan perhimpunan pertama bagi tahun 2026.

Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen dan kesungguhan semua kakitangan dalam memastikan pengurusan zakat, wakaf dan baitulmal di Johor dilaksanakan dengan berkesan serta menepati kehendak syarak.

Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2025, MAINJ telah membelanjakan sebanyak RM422.6 juta bagi tujuan agihan zakat kepada lapan golongan asnaf melalui pelbagai skim bantuan termasuk bantuan sara hidup, perumahan, perubatan, pendidikan, dana niaga serta bantuan bencana.

Selain zakat, Bahagian Wakaf turut mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah hasil sebanyak RM15.79 juta, manakala Bahagian Baitulmal berjaya mengutip Wang Amanah Fidyah berjumlah RM11.87 juta.

Beliau turut menggesa semua bahagian agar terus meningkatkan kecekapan perkhidmatan, khususnya dalam aspek kelajuan memproses permohonan bantuan, sejajar dengan tema perkhidmatan awam tahun 2026, “Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi”.

Perhimpunan tersebut turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif utama MAINJ termasuk Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Kempen Kesedaran Fidyah serta Skim Bantuan Sewaan Rumah.

#amazingmainj

#mainjprihatin