Briged Ansar Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah melaksanakan kerja-kerja Gerak Kasih di Tanah Perkuburan Islam Pusara Mahmoodiah sempena Program Gotong-Royong Perdana Pembersihan Tanah Perkuburan yang dianjurkan oleh Biro Kontraktor, Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor.
Program ini telah berjaya menghimpunkan lebih 1,000 orang peserta yang terdiri daripada sukarelawan Briged Ansar MAINJ, ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil agensi kerajaan dan swasta, kontraktor bumiputera serta masyarakat setempat yang bersama-sama berganding bahu menjayakan usaha kebajikan dan khidmat masyarakat ini.
Sepanjang program berlangsung, para sukarelawan melaksanakan pelbagai aktiviti pembersihan termasuk kerja-kerja mencantas, membersihkan kawasan pusara, mengumpul sisa buangan serta menyelenggara persekitaran tanah perkuburan bagi memastikan suasana yang lebih bersih, kemas dan terpelihara.
Kerjasama erat antara MAINJ, penganjur serta pelbagai NGO yang terlibat mencerminkan semangat perpaduan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat Negeri Johor. Program sebegini juga dilihat sebagai satu medium berkesan dalam memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan, menghormati pusara serta mengimarahkan aktiviti kebajikan yang memberi manfaat bersama.
MAINJ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Program Gotong-Royong Perdana ini, dan berharap agar usaha murni seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan ummah dan keharmonian masyarakat.
#amazingmainj
#mainjprihatin


