KLUANG – Seramai 300 orang peserta dari 118 pusat rawatan dialisis dari seluruh Negeri Johor telah menghadiri Taklimat Skim Hemodialisis yang berlangsung di Masjid Jamek Bandar Kluang, baru-baru ini.
Program ini dianjurkan bagi memberi penerangan terperinci berkaitan pelaksanaan skim hemodialisis, khususnya dalam memastikan kebajikan pesakit asnaf yang memerlukan rawatan berterusan terus terpelihara dan mendapat perhatian sewajarnya.
Selain itu, taklimat turut diserikan dengan sesi penerangan mengenai zakat pendapatan yang bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan peserta terhadap tanggungjawab menunaikan zakat, di samping memperkasakan pengurusan kewangan berlandaskan prinsip syariah.
Dalam usaha memperkukuh nilai integriti dan tadbir urus yang baik, kerjasama turut dijalinkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyampaikan taklimat khas berkaitan integriti. Penekanan diberikan terhadap kepentingan ketelusan dan akauntabiliti dalam penyampaian perkhidmatan kepada golongan asnaf.
Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi serta meningkatkan kecekapan pengurusan bantuan, sekali gus memastikan perkhidmatan yang diberikan benar-benar sampai kepada golongan yang layak dengan lebih berkesan dan berintegriti.
AmazingMAINJ #MAINJPrihatin

https://www.facebook.com/share/v/18qFbiRwDJ/?mibextid=wwXIfr