Johor Komited Perkasa Kebajikan dan Pendidikan Mualaf

posted in: Umum | 0

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor terus mengukuhkan agenda pemerkasaan golongan mualaf melalui pendekatan bersepadu yang merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, dakwah dan pembangunan sosial secara holistik.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd Khalid berkata demikian ketika menjawab soalan YB Datuk Haji Ramlee bin Bohani (DUN Kempas) berkaitan inisiatif semasa yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Menurut beliau, peningkatan peruntukan mualaf yang konsisten setiap tahun mencerminkan keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan saudara baharu terus terbela. Peruntukan tersebut meningkat daripada RM14.99 juta pada tahun 2023 kepada RM16.24 juta pada 2024 dan seterusnya RM19.39 juta pada tahun 2025.

Kutipan zakat negeri juga menunjukkan pertumbuhan positif, mencecah RM449 juta pada tahun 2025.

Dalam memastikan keperluan mualaf dipenuhi secara menyeluruh, sebanyak 15 bantuan sedia ada terus diperkasakan meliputi sara hidup, pendidikan, perubatan dan sokongan berdikari, selain pembangunan kemudahan komuniti. Pada masa sama, lima bantuan baharu diperkenalkan termasuk bantuan ibu bapa mualaf, bantuan guaman, deposit dan sewaan rumah, bantuan perkahwinan serta bantuan pengajian anak mualaf.

Dari sudut pengukuhan akidah dan kefahaman Islam, seramai 38 pendakwah pelbagai latar belakang telah dilantik untuk menyantuni mualaf mengikut kesesuaian komuniti, manakala 13 kelas bimbingan agama aktif dilaksanakan di seluruh negeri dengan penekanan kepada akidah, ibadah, akhlak dan Al-Quran. Sebuah lagi kelas baharu dirancang di Masjid Endau.

Pendekatan bersepadu ini menzahirkan kesungguhan kerajaan negeri dalam membina ekosistem sokongan yang bukan sahaja memenuhi keperluan asas, malah membimbing mualaf ke arah kehidupan yang lebih stabil, berilmu dan berdaya tahan dalam menghayati ajaran Islam.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin