MAAL HIJRAH 1448H: JOHOR TERUS MAJU BERPAKSIKAN NILAI ISLAM

posted in: Umum | 0

ISKANDAR PUTERI, 17 Jun – Kerajaan Negeri Johor akan terus memastikan setiap agenda pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan berpaksikan nilai-nilai Islam bagi menjamin kemakmuran berkekalan serta kesejahteraan rakyat pelbagai kaum.

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi berkata, kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disertai pengukuhan nilai agama serta keberkatan daripada Allah SWT.

Menurut beliau, sejarah peradaban Islam membuktikan bahawa kejayaan sesuatu tamadun lahir apabila pembangunan ilmu, kepimpinan dan kemajuan bergerak seiring dengan pegangan agama yang kukuh.

“Pembangunan yang ingin dibawa ke Johor mesti berpaksikan nilai-nilai Islam. Ekonomi yang kukuh boleh terjejas dalam sekelip mata apabila berlakunya konflik dan ketidakstabilan. Sebab itu aspek kerohanian dan nilai agama perlu menjadi tunjang kepada kemajuan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1448H/2026M di Dewan Utama, Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini.

Dalam konteks Johor, katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pengukuhan nilai kerohanian masyarakat. Usaha tersebut dapat dilihat menerusi peningkatan pelaburan, hasil negeri, kutipan zakat serta pelbagai sumber pendapatan lain yang menjadi amanah untuk dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan manfaat.

Beliau turut memaklumkan bahawa Johor mencatat kutipan hasil negeri sebanyak RM2.6 bilion pada tahun lalu berbanding sasaran awal RM2 bilion, manakala kutipan zakat meningkat daripada RM367 juta pada tahun 2022 kepada RM448 juta pada tahun lalu.

“Semua kejayaan ini bukan kerana kebijaksanaan manusia semata-mata, sebaliknya dengan izin Allah SWT. Apabila hasil negeri dipulangkan semula kepada rakyat, Allah akan melipatgandakan lagi rezeki dan keberkatan kepada negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, pelbagai inisiatif seperti Program Infak Jumaat yang dilaksanakan di masjid dan surau seluruh Johor serta program Semarak Subuh terus diperkasakan bagi memupuk budaya saling membantu, mengukuhkan ukhuwah dan mengimarahkan institusi masjid dalam kalangan masyarakat.

Pada majlis berkenaan, tokoh akademik dan pakar sejarah tempatan, YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Johor 1448H/2026M sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang akademik, sejarah dan pembangunan bangsa Johor.

Selain itu, beberapa individu turut menerima Anugerah Maal Hijrah Negeri Johor 1448H/2026M sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada masyarakat. Mohd Shafiee Nori menerima Anugerah Maal Hijrah (Orang Asli), manakala Harun Segaran Abdullah menerima Anugerah Maal Hijrah (Saudara Kita). Anugerah Maal Hijrah (Belia) pula disampaikan kepada Muhammad Afiq Danial Md Azhar, sementara Dr. Kamarudin Md Tahir menerima Anugerah Maal Hijrah (Kemasyarakatan).

Sementara itu, Kassim menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya sebagai penghormatan besar dan akan menjadi pemangkin untuk beliau terus menyumbang kepada masyarakat menerusi usaha memperkasa sejarah Kesultanan Johor serta memperkukuh jati diri Bangsa Johor.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared Haji Mohd Khalid; Setiausaha Kerajaan Johor, YB Dato’ Mohammed Ridha Abd Kadir; Mufti Negeri Johor, Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya Ahmad; Penasihat MAINJ, YB Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot; Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, YB Dato’ Haji Mohd Radzi Haji Mohd Amin; serta Pengarah JAINJ, YB Dato’ Haji Nasri Md. Ali.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin