MAINJ PERKASA WARGA KERJA BAHARU DENGAN PENGISIAN PENGURUSAN PENTADBIRAN, ZAKAT, WAKAF DAN BAITULMAL

posted in: Umum | 0

KULAI – Seramai 54 kakitangan baharu Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) lantikan tahun 2025 hingga 2026 menyertai Kursus Pengurusan Pentadbiran, Zakat, Wakaf dan Baitulmal yang berlangsung di Le Grandeur Palm Resort Johor bagi memperkukuh kefahaman serta meningkatkan kompetensi dalam aspek pengurusan dan pentadbiran MAINJ.

Kursus ini memberi penekanan kepada penghayatan konsep, prinsip, perundangan serta tadbir urus berkaitan pengurusan pentadbiran, zakat, wakaf dan baitulmal selaras dengan tuntutan syarak dan keperluan semasa organisasi. Program ini turut menjadi platform penting dalam membentuk warga kerja yang berintegriti, berpengetahuan serta mampu melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme.

Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti enam slot perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh pegawai MAINJ yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Penceramah yang terlibat terdiri daripada Encik Mohd Sopian Abd Latip, Encik Mohd Redzuan Abd Rashid, Ustaz Sh Haffie Awab, Ustaz Mohd Firdaus Omar, Ustaz Mohd Iqbal Mazilan dan Encik Amad Jupri Lewan.

Majlis penutupan kursus disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAINJ, Encik Mohd Mackeen Mohd Shafiee. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penguasaan ilmu, kefahaman terhadap fungsi organisasi serta penghayatan nilai integriti sebagai asas dalam melahirkan penjawat yang profesional, kompeten dan berupaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Beliau turut berharap agar segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas harian, sekali gus menyumbang kepada pemerkasaan institusi Islam serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan MAINJ kepada masyarakat.

#AmazingMAINJ

#MAINJPrihatin