BATU PAHAT, 23 Jun 2026 – Pusat Islam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan sokongan dan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menganjurkan Perbincangan Meja Bulat Amil Institusi Pengajian Tinggi Negeri Johor 2026 di Dewan Seminar Al-Farabi, Pusat Islam UTHM.
Program yang menghimpunkan wakil-wakil amil institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negeri Johor ini bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama, berkongsi amalan terbaik serta membincangkan isu-isu semasa berkaitan pengurusan dan pembangunan zakat di institusi pengajian tinggi.
Program dirasmikan oleh, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Zakat Universiti, YBhg. Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kerjasama strategik antara institusi bagi memastikan pengurusan zakat dilaksanakan secara lebih cekap, telus dan berimpak tinggi kepada golongan asnaf khususnya dalam kalangan warga kampus.
Program turut diisi dengan sesi perkongsian oleh wakil-wakil amil institusi, perbincangan meja bulat berkaitan isu dan cabaran semasa pengurusan zakat IPT serta sesi penyediaan laporan kewangan zakat.
Perbincangan ini membuka ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi memperkasakan pengurusan zakat di institusi masing-masing.
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin


