AMMAN, 4 Julai 2026 – Agensi Agama Negeri Johor terus memperkukuh hubungan dengan mahasiswa Johor di Jordan menerusi penganjuran Majlis Tautan Mahabbah yang berlangsung di Opal Hotel, Amman. Program ini menjadi wadah mengeratkan ukhuwah, menyantuni anak-anak Johor di perantauan serta memperkukuhkan jalinan kerjasama antara agensi agama negeri dan mahasiswa yang sedang menuntut di bumi Jordan.
Majlis dihadiri Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Johor; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ); Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ); pegawai-pegawai kanan agensi agama Negeri Johor; serta mahasiswa Johor daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di Jordan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Bangsa Johor dan Selawat Tafrijiyyah, disusuli bacaan ayat suci al-Quran serta bacaan doa sebagai pembuka majlis yang penuh keberkatan.
Dalam tausiyah, Sahibus Samahah Dato’ Haji Yahya Ahmad menekankan kepentingan memelihara akidah, memperkukuh ukhuwah Islamiah serta menjadikan ilmu sebagai asas pembinaan jati diri. Beliau turut mengingatkan para mahasiswa agar sentiasa menjaga akhlak, membawa imej baik negeri Johor serta bersedia menjadi generasi rabbani yang berilmu, berintegriti dan mampu menyumbang kepada pembangunan agama, masyarakat dan negeri apabila kembali ke tanah air.
Majlis turut diteruskan dengan sesi dialog bersama mahasiswa yang membuka ruang perbincangan mengenai pelbagai isu semasa berkaitan hal ehwal Islam. Antara perkara yang dibincangkan ialah usaha penyelarasan amalan tarekat dan aktiviti kerohanian di Malaysia. Delegasi menjelaskan bahawa usaha tersebut penting bagi memastikan setiap amalan dilaksanakan selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, hukum syarak serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama. MAINJ bersama JAINJ akan terus memperkukuh usaha pemantauan, penyelarasan dan wacana ilmiah bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu berkaitan.
Dalam majlis yang sama, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM87,000 kepada Persatuan Pelajar Johor di Jordan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah, sesi ramah mesra bersama delegasi, penyampaian cenderamata serta sesi bergambar bersama mahasiswa sebagai simbol penghargaan dan kenangan.
Penganjuran Majlis Tautan Mahabbah menjadi simbol Agensi Agama Negeri Johor dalam memperkukuh ukhuwah, menyantuni mahasiswa Johor di luar negara serta menyokong pembangunan generasi berilmu, berakhlak dan berbakti kepada agama, bangsa dan negeri.
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin







