JOHOR BAHRU, 23 Julai – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah menerima lawatan kerja YB Tuan Haji Mohd Fared Haji Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor ke Ibu Pejabat MAINJ bagi menyampaikan amanat serta memperkukuhkan hala tuju organisasi dalam merealisasikan agenda pembangunan institusi Islam di Negeri Johor.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa portfolio Hal Ehwal Agama Islam merangkumi lima portfolio utama, dengan MAINJ merupakan antara agensi terbesar yang memikul amanah penting dalam memperkasa pembangunan umat Islam di negeri ini. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, YB Dato’ Haji Mohd Radzi Haji Mohd Amin, serta seluruh warga kerja MAINJ atas komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa perkenan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bersama Kerajaan Negeri Johor dan Jumaah Majlis DiRaja Johor dalam melaksanakan agenda pembangunan institusi agama merupakan satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab. Sehubungan itu, beliau menyeru agar seluruh warga MAINJ menghayati pendekatan 3T1M, dengan penekanan khusus kepada elemen ‘micro-manage’ sebagai kaedah memperkukuh pemantauan, pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan secara lebih berkesan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa MAINJ mampu melangkah lebih jauh berlandaskan semangat ‘AmazingMAINJ’, yang disifatkan sebagai slogan yang mampu menyemarakkan motivasi dan budaya kerja cemerlang dalam kalangan warga organisasi.
Beliau turut menyeru agar segala kepakaran, pengalaman dan idea yang dimiliki dimanfaatkan sepenuhnya bagi memacu kecemerlangan organisasi. Segala pembaharuan yang bakal dilaksanakan perlu disokong secara kolektif demi memastikan MAINJ terus kekal sebagai institusi Islam yang progresif, berwibawa dan diyakini masyarakat.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tuan Anuar Abd Manap; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Yang Berhormat Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot; serta barisan pengurusan tertinggi dan warga kerja MAINJ.
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin









