PORT DICKSON, 24 Julai – Seramai 30 Pegawai Tadbir Agama Negeri Johor menyertai Kursus Pengurusan Harta Pusaka dan Faraid: Dari Teori ke Praktikal yang dianjurkan Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Julai 2026 di Avillion Cove, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kursus ini bertujuan memperkasa kefahaman dan kemahiran peserta dalam bidang faraid serta pengurusan harta pusaka secara menyeluruh, sekali gus meningkatkan keupayaan pegawai dalam memberi khidmat nasihat dan penerangan kepada masyarakat berkaitan pembahagian harta pusaka mengikut syariat Islam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Tuan Haji Ramly Jusoh. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan peserta tentang kepentingan mempelajari dan menyebarkan ilmu faraid sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyeru umat Islam agar mempelajari ilmu faraid, mengajarkannya kepada orang lain serta mengamalkannya kerana ilmu tersebut berpotensi hilang apabila tidak dipelihara dan diamalkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa antara hikmah penguasaan ilmu faraid ialah bagi mengelakkan berlakunya perselisihan dan sengketa dalam kalangan waris ketika proses pembahagian harta pusaka. Menurut beliau, masyarakat memerlukan pegawai yang benar-benar mahir untuk memberi panduan serta menyelesaikan persoalan berkaitan faraid berdasarkan hukum syarak.
“Alhamdulillah, kita masih dikurniakan peluang untuk mempelajari dan memperkukuhkan ilmu ini. Ilmu faraid bukan sekadar untuk diketahui, tetapi perlu diamalkan dan disampaikan kepada masyarakat. Apabila kita menguasainya, kita mampu memberikan penjelasan yang tepat serta membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan harta pusaka dengan lebih berkesan,” katanya.
Melalui penganjuran kursus ini, MAINJ berharap para peserta dapat memperkukuh pengetahuan teori dan kemahiran praktikal dalam pengurusan harta pusaka, seterusnya menjadi rujukan yang berwibawa kepada masyarakat. Penguasaan ilmu faraid yang mantap bukan sahaja memastikan hak setiap waris dipelihara, malah mampu mengelakkan pertikaian keluarga serta menyumbang kepada pengurusan harta pusaka Islam yang lebih teratur dan berkesan.
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin


