MAINJ SERAH 5,000 NASKHAH AL-QURAN TERJEMAHAN BAHASA KHMER MELALUI KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI PHNOM PENH

posted in: Umum | 0

PHNOM PENH, KEMBOJA – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyerahkan 5,000 naskhah Al-Quran terjemahan bahasa Khmer bernilai RM190,000 melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Projek Wakaf Tunai Al-Quran Terjemahan Luar Negara.

Majlis penyerahan tersebut berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Tuan Yang Terutama (TYT) Shaharuddin Onn. Delegasi MAINJ diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Radzi Haji Mohd Amin, bersama Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Tuan Haji Ramly Haji Jusoh dan YBhg. Dato’ Haji Ikbal Haji Salam, serta pegawai-pegawai MAINJ.

Projek Wakaf Tunai Al-Quran Terjemahan Luar Negara merupakan inisiatif MAINJ yang memberi peluang kepada masyarakat untuk berwakaf dalam usaha menyebarkan risalah Islam ke peringkat antarabangsa. Projek ini menyasarkan kutipan sebanyak RM2.5 juta, dengan nilai satu unit saham wakaf berjumlah RM50.

Terdahulu, pada 14 Mei 2024, Jawatankuasa Wakaf Negeri Johor telah meluluskan pelaksanaan pengagihan Al-Quran terjemahan ke lima negara bagi fasa pertama, iaitu Kemboja, Filipina, Australia, New Zealand dan Nepal. Susulan itu, pada 16 Julai 2024, Jawatankuasa Wakaf Negeri Johor turut meluluskan pengagihan 5,000 naskhah Al-Quran terjemahan bahasa Khmer kepada Kemboja.

Pengagihan Al-Quran terjemahan dalam bahasa Khmer ini bertujuan membantu masyarakat Islam di Kemboja memahami isi kandungan Al-Quran dengan lebih mudah, sekali gus menghayati ajaran Islam dalam bahasa ibunda mereka. Inisiatif ini bukan sahaja memperluaskan syiar Islam di peringkat antarabangsa, malah membuktikan komitmen MAINJ dalam memanfaatkan dana wakaf rakyat Johor bagi memperkasakan pendidikan dan kefahaman Islam dalam kalangan komuniti Muslim di luar negara.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin