TANGKAK, 4 Ogos β Daerah Tangkak menjadi lokasi pembuka tirai Program Jelajah Rumah Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor Daerah Tangkak, Muar dan Segamat Tahun 2026 yang dianjurkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan kerjasama Bank Rakyat dalam menyantuni golongan asnaf melalui penyediaan kediaman yang selesa dan kondusif hasil daripada dana zakat para pembayar zakat di negeri ini.
Sepanjang program, pelbagai pengisian dilaksanakan termasuk Program Khidmat Kemasyarakatan yang melibatkan kerja-kerja menyusun atur dan penyediaan kelengkapan perabot rumah, majlis penyerahan Rumah Asnaf MAINJ, gimik penyerahan kunci rumah kepada penerima serta penyampaian sumbangan bakul makanan.
Bagi siri jelajah di daerah Tangkak, seramai tiga keluarga telah menerima manfaat, iaitu Saimah Kusin dari Kampung Simpang 5 Darat, Bukit Gambir, Abd Muttalib Hashim dari Kampung Solok Jaya, Tangkak dan Rasid Rosli dari Parit Bunga, Tangkak.
Majlis di kediaman Rasid Rosli dimulakan dengan ucapan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Tuan Haji Md Buranuddin Haji Tibek, sebelum beliau menyempurnakan gimik penyerahan kunci rumah kepada penerima.
Dalam ucapannya, Tuan Haji Md Buranuddin berkata, penyerahan tiga buah Rumah Asnaf MAINJ pada hari ini membuktikan komitmen MAINJ dalam memastikan manfaat dana zakat sampai kepada golongan asnaf yang layak. Beliau berkata, pembinaan rumah-rumah tersebut telah dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Tangkak bagi menyediakan kediaman yang lebih selesa dan sempurna kepada para penerima.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Tangkak, Muhammad βIzzuddin Mohd Azman; Naib Presiden Kanan Syariah Operasi Bukan Perbankan, Bank Rakyat, Ustaz Mohd Hanafiah Mohd Nawawi; serta Ketua Wilayah Johor, Bank Rakyat, Nor Hisham Md Dali.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana bantuan yang disalurkan mampu memberikan sinar baharu kepada kehidupan keluarga asnaf serta berharap setiap penerima menjaga rumah yang diterima dengan sebaik-baiknya agar manfaatnya dapat dinikmati untuk jangka masa panjang.
Menurut beliau lagi, Rumah Asnaf MAINJ mempunyai identiti tersendiri melalui warna cat yang digunakan, sekali gus menjadikannya mudah dikenali berbanding rumah-rumah bantuan agensi lain.
Mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pembayar zakat di Negeri Johor yang terus istiqamah menunaikan kewajipan berzakat.
Turut hadir, Penolong Pengarah Zakat MAINJ, Ustaz Mohd Shafiee Mustapha; Penolong Pengarah Agihan MAINJ, Ustaz Muhammad Zakuan Ghazali; serta Amin Baitulmal MAINJ Daerah Tangkak, Ustaz Al-Azhar Ahmad Fazil.
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin
https://www.facebook.com/share/1BiKZ4H3tX/?mibextid=wwXIfr





