JELAJAH RUMAH ASNAF MAINJ BERMULA, MENYANTUNI ASNAF DARI TANGKAK KE SEGAMAT

posted in: Asnaf, Bantuan | 0

JOHOR BAHRU, 4 Ogos – Program Jelajah Rumah Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bermula hari ini dengan majlis pelepasan peserta yang berlangsung di perkarangan Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Program yang berlangsung selama tiga hari sehingga 6 Ogos ini akan menjelajah daerah Tangkak, Muar dan Segamat sebagai usaha menyantuni golongan asnaf melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan khidmat masyarakat.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Timbalan Mufti Johor, Sahibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Faisal Mohamed. Dalam amanat perasmiannya, beliau mengingatkan semua peserta agar sentiasa menjaga nama baik dan maruah MAINJ sepanjang program berlangsung serta memelihara adab, disiplin dan akhlak ketika berkonvoi mahupun berinteraksi dengan masyarakat. Menurut beliau, setiap peserta membawa imej MAINJ dan sebarang tindakan yang tidak berhemah boleh mengundang salah faham serta mencetuskan fitnah.

Beliau turut menyeru para peserta agar memperbanyakkan khidmat bakti kepada masyarakat sepanjang program berlangsung. Amanah yang dipikul sebagai wakil MAINJ dan Bank Rakyat perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan integriti agar setiap aktiviti yang dijalankan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan. Beliau berharap segala usaha yang dilaksanakan bukan sahaja dapat menggembirakan masyarakat, malah memperoleh doa daripada para penerima serta diterima sebagai amal kebajikan di sisi Allah SWT. Beliau turut mendoakan agar perjalanan program dipermudahkan, sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT serta seluruh peserta dikurniakan keselamatan sepanjang menjayakan misi kebajikan tersebut.

Sepanjang program, para peserta akan melaksanakan Program Khidmat Insaniah yang meliputi kerja gotong-royong, penyediaan kelengkapan perabot rumah, penyerahan lapan buah Rumah Asnaf MAINJ, penyampaian bantuan sara hidup, bantuan perubatan khas serta sumbangan bakul makanan kepada para penerima di daerah Tangkak, Muar dan Segamat.

Selain itu, masyarakat setempat turut berpeluang mengikuti Program Semarak Isyak dan Majlis Doa Selamat untuk Pembayar Zakat dan Pewakaf bersama Asnaf di Muar serta Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk “Sinergi Kewangan Islam: Amanah Wakalah, Kesejahteraan Ummah” di Segamat sebagai sebahagian daripada pengisian program. Program ini akan melabuhkan tirainya pada 6 Ogos 2026 menerusi Majlis Penutup Jelajah Rumah Asnaf MAINJ di Segamat yang turut menyaksikan penyerahan rumah asnaf, bantuan kebajikan serta penyampaian penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang bersama-sama menjayakan program ini.

Hadir sama Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Tuan Haji Burhanuddin Haji Tibek; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Radzi Haji Mohd Amin; Naib Presiden Kanan Syariah Operasi Bukan Perbankan Bank Rakyat, Ustaz Mohd Hanafiah Mohd Nawawi; Ketua Wilayah Johor Bank Rakyat, Encik Nor Hisham Md Dali; Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAINJ, Tuan Haji Azlan Abdullah; serta Penolong Pengarah Agihan Zakat MAINJ, Muhammad Zakuan Ghazali.

#AmazingMAINJ

#MAINJPrihatin