SEGAMAT, 6 Ogos – Program Jelajah Rumah Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memulakan siri lawatan di daerah Segamat dengan menyantuni penerima bantuan rumah, Azizyah Musa, di Kampung Kadut, Pekan Jabi.
Rumah yang dibina di bawah Skim Bantuan Rumah MAINJ itu telah mula dibina pada 3 Mac 2026 dan siap sepenuhnya pada 25 Mei 2026. Kini, kediaman tersebut dapat diduduki dengan selesa oleh penerima sekeluarga, sekali gus memberikan kehidupan yang lebih selamat, selesa dan sempurna.
Program Jelajah Rumah Asnaf ini dilaksanakan dengan kerjasama Bank Rakyat sebagai rakan strategik MAINJ menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), bagi membantu golongan asnaf serta mendekati masyarakat yang memerlukan.
Sepanjang jelajah ini, sebanyak dua buah rumah asnaf di daerah Segamat disantuni sebagai usaha kebajikan dan kerja-kerja insaniah kemasyarakatan MAINJ. Program ini turut menjadi platform untuk meninjau hasil pelaksanaan bantuan, di samping mendengar sendiri perkembangan serta keperluan penerima bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak kepada kehidupan mereka.
Turut hadir menyantuni penerima ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu dan Tuan Haji Md Buranuddin Haji Tibek, bersama wakil Bank Rakyat, pegawai-pegawai MAINJ serta Pejabat Daerah Segamat.
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin



