Jelajah Rumah Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melabuhkan tirainya dengan lawatan ke kediaman Faridah Ariffin, penerima Skim Bantuan Rumah MAINJ, di Kampung Gelang Chinchin, Segamat.
Selesai lawatan ke rumah terakhir, program diteruskan dengan Majlis Penutupan Rasmi Jelajah Rumah Asnaf MAINJ yang telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Yang Berhormat Dato’ Dr. Aman Rabu.
Program Jelajah Rumah Asnaf MAINJ yang berlangsung selama tiga hari ini telah menjelajah ke tiga daerah iaitu Tangkak, Muar dan Segamat. Sepanjang program, sebanyak lapan buah rumah telah diserahkan kepada para penerima Skim Bantuan Rumah MAINJ, dengan kos pembinaan RM100,000 bagi setiap sebuah rumah. Jelajah ini bukan sahaja bertujuan meninjau hasil pelaksanaan projek bantuan perumahan, malah menjadi platform untuk mendekati para penerima, mendengar sendiri maklum balas mereka serta memastikan setiap bantuan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada golongan asnaf.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato’ Dr. Aman Rabu berkata Program Jelajah Rumah Asnaf bukan sekadar siri lawatan dan penyerahan rumah, malah menjadi manifestasi usaha berterusan MAINJ dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus diperkasakan secara menyeluruh.
Menurut beliau, projek pembinaan Rumah Asnaf merupakan antara inisiatif utama MAINJ yang dibiayai melalui peruntukan MAINJ dan Dana Wakalah Zakat Bank Rakyat, serta dilaksanakan dengan kerjasama pejabat-pejabat daerah sebagai agensi pelaksana.
“Kerjasama strategik antara institusi agama, agensi kerajaan dan sektor korporat membuktikan bahawa lebih banyak manfaat dapat disalurkan kepada masyarakat apabila semua pihak berganding bahu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa rumah yang dibina bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, bahkan menjadi simbol harapan baharu kepada keluarga asnaf untuk membina kehidupan yang lebih stabil, selesa dan sejahtera.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Skim Bantuan MAINJ, termasuk syarat kelayakan dan tatacara permohonan, boleh melayari portal rasmi MAINJ di:
Pelbagai skim bantuan disediakan bagi membantu golongan yang layak mengikut kategori asnaf dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin






