TANGKAK, 7 Ogos 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menganjurkan Program Zakat Di Hati Bersama Komuniti Daerah Tangkak selama dua hari pada 6 dan 7 Ogos sebagai usaha memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai zakat, di samping menyantuni golongan yang memerlukan menerusi penyampaian bantuan dan pelbagai aktiviti pengimarahan.
Program pada hari pertama dimulakan dengan Seminar Zakat Emas yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam MAINJ, Ustaz Luqmanul Hakim Ab Rahman, diikuti Taklimat Pengurusan Harta Pusaka oleh Ustaz Saiful Anwar. Kedua-dua pengisian yang berlangsung di Masjid Daerah Tangkak itu disertai oleh tenaga pengajar al-Quran dari seluruh daerah Tangkak.
Pada sebelah malam, program diteruskan dengan Tazkirah Maghrib di Masjid Kampung Sawah Ring yang disampaikan oleh Amin Baitulmal MAINJ Daerah Tangkak, Ustaz Al-Azhar Ahmad Fazil. Dalam masa yang sama, Tazkirah Zakat bersama saudara baharu turut diadakan di Darul Ukhuwah Tangkak yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Zakat MAINJ, Ustaz Mohd Rafi A. Latif.
Memasuki hari kedua, program diteruskan dengan Taklimat Zakat Pendapatan di Homestay Sawah Ring yang turut menyaksikan sembilan pembayar zakat dalam kalangan peniaga daerah Tangkak diraikan sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka menunaikan kewajipan zakat. Dalam program yang sama, bantuan perubatan turut disampaikan kepada empat penerima bagi membantu meringankan beban kos rawatan yang ditanggung.
Sepanjang program berlangsung, MAINJ mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM185,840.00 yang memberi manfaat kepada 74 penerima, melibatkan dua penerima Bantuan Dialisis, seorang penerima Bantuan Sara Hidup Pelbagai, seorang penerima Bantuan Sara Hidup serta 70 penerima Bantuan Fidyah.
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin








