KUALA LUMPUR β Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengadakan Program Kunjungan Hormat dan Penyerahan Sumbangan ke Hospital Tunku Azizah (HTA), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, di sini hari ini.
Hospital Tunku Azizah merupakan hospital rujukan khusus bagi perkhidmatan kesihatan wanita dan kanak-kanak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Hospital ini menyediakan pelbagai perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran termasuk obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta rawatan khusus bagi wanita dan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan lanjut.
Program disertai delegasi MAINJ diketuai Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Yang Berhormat Datoβ Dr. Aman Rabu, bersama Penolong Pengarah Agihan Zakat MAINJ, Ustaz Muhammad Zakuan Ghazali.
Dalam kunjungan tersebut, MAINJ menyampaikan cek cura bernilai RM100,000 sekali beri, secara simbolik kepada Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr. Shamsul Anuar Kamarudin, bagi membantu kebajikan pesakit yang memerlukan, khususnya mereka yang layak menerima bantuan.
Program kemudiannya diteruskan bersama Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan HTA, Cik Hilyati Mohd Hashim dalam sesi perbincangan antara kedua-dua pihak mengenai kaedah pelaksanaan dan penyaluran bantuan kepada pesakit yang memerlukan. Antara perkara yang diberikan perhatian ialah mekanisme penggunaan sumbangan, penentuan kelayakan penerima serta usaha memastikan bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.
Perbincangan turut menyentuh kaedah pengurusan bantuan dan penetapan had bantuan bagi setiap pesakit agar peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan secara optimum serta memberi manfaat kepada lebih ramai penerima yang layak.
MAINJ turut berkongsi pengalaman kerjasama strategik bersama beberapa agensi dan institusi perubatan dalam menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf. Kerjasama secara langsung dengan agensi berkaitan dilihat mampu mempercepatkan proses penyaluran bantuan, terutama bagi kes yang memerlukan rawatan atau pembedahan.
Kunjungan ini turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan, khususnya dalam memperkukuh penyampaian bantuan kebajikan dan perubatan kepada golongan asnaf serta pesakit yang memerlukan.
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin

https://www.facebook.com/share/p/1CC8gEi2iV/?mibextid=wwXIfr