MERSING – Hospital Mersing terus memperkukuh pendekatan penjagaan pesakit secara holistik menerusi Program Penyerahan Kit Mesra Ibadah, anjuran Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Pelaksanaan inisiatif berkenaan dibiayai menerusi dana zakat MAINJ berjumlah RM260,000, bagi menyediakan Kit Mesra Ibadah untuk membantu memenuhi keperluan ibadah pesakit Muslim yang menerima rawatan di hospital.
Pengarah Hospital Mersing, Dr. Redzuan Ab Hamid, berkata tugas institusi kesihatan bukan sekadar merawat penyakit dan membantu pemulihan fizikal pesakit, malah turut merangkumi aspek emosi, rohani dan spiritual.
Menurut beliau, apabila seseorang diuji dengan kesakitan, berada di wad atau menjalani rawatan, hubungan dengan Allah SWT menjadi semakin penting. Peluang untuk menunaikan solat dan melaksanakan ibadah mampu memberikan ketenangan, kekuatan jiwa serta harapan kepada pesakit.
“Justeru, inisiatif Kit Mesra Ibadah ini amat bertepatan dengan konsep penjagaan pesakit secara menyeluruh atau holistic care.
“Kit ini bukan sekadar kemudahan, tetapi membawa mesej yang lebih besar bahawa kesakitan bukan penghalang untuk seseorang terus beribadah kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Kit Mesra Ibadah di Hospital Kerajaan Peringkat Daerah Mersing Tahun 2026M/1448H.
Hadir sama, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Tuan Haji Ramly Jusoh; Kadi Daerah Mersing, As-Syeikh Tuan Haji Mohd Nazri Jamaluddin serta Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAINJ, Tuan Haji Khalil Satar.
Turut hadir barisan pegawai kanan JAINJ dan MAINJ, Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah Hospital Mersing serta warga kerja Hospital Mersing.
Dr. Redzuan berkata, penyediaan kemudahan dan panduan ibadah yang bersesuaian dapat memudahkan pesakit melaksanakan tuntutan agama berdasarkan kemampuan dan keadaan kesihatan mereka.
Dalam pada itu, Dr. Redzuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JAINJ, MAINJ dan Pejabat Kadi Daerah Mersing atas keprihatinan, sokongan serta usaha dalam menjayakan program berkenaan.
Dr. Redzuan turut menyeru seluruh warga Hospital Mersing supaya terus memperkukuh pendekatan “merawat dengan ilmu, menyantuni dengan ihsan dan berkhidmat dengan penuh amanah.”
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin



https://www.facebook.com/share/p/192mpdbSRV/?mibextid=wwXIfr