SENTUHAN IHSAN BAITULMAL JOHOR RINGANKAN BEBAN WARIS SAUDARA BAHARU

posted in: Baitulmal | 0

NILAI, NEGERI SEMBILAN, 19 Ogos 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melalui Bahagian Baitulmal hari ini menyerahkan sumbangan kebajikan kepada waris seorang saudara baharu yang telah meninggal dunia, sebagai tanda keprihatinan terhadap aspek kebajikan, kemanusiaan dan hubungan kekeluargaan.

Bahagian Baitulmal MAINJ bertanggungjawab menerima dan mengurus harta pusaka yang menjadi hak Baitulmal, termasuk harta peninggalan saudara baharu yang tidak mempunyai waris yang berhak menurut hukum syarak.

Dalam satu kes, pihak Baitulmal menerima permohonan daripada anak kandung seorang saudara baharu yang meninggal dunia bagi mendapatkan sebahagian daripada harta peninggalan arwah bapanya.

Setelah penelitian dibuat berdasarkan hukum syarak dan peruntukan yang berkaitan, permohonan tersebut tidak dapat dipertimbangkan sebagai tuntutan terhadap harta pusaka kerana pemohon merupakan waris bukan Islam dan tidak termasuk dalam kalangan waris yang berhak menerima pusaka secara faraid.

Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira aspek kebajikan, kemanusiaan serta hubungan kekeluargaan yang wujud, pihak Baitulmal telah mempertimbangkan permohonan tersebut dari sudut sumbangan kebajikan dan bersetuju untuk menyalurkan sumbangan kepada pemohon.

Penyerahan rasmi sumbangan telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Ahmad Faisal Mohamed, Timbalan Mufti Negeri Johor, disaksikan oleh Tuan Haji Shafiei Ahamad, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ.

Dato’ Haji Ahmad Faisal berkata, pendekatan Baitulmal dalam kes ini memperlihatkan bahawa pengurusan harta umat Islam dilaksanakan dengan penuh amanah dan berlandaskan hukum syarak, namun pada masa yang sama tidak mengenepikan aspek kebajikan serta nilai kemanusiaan.

Menurut beliau, walaupun permohonan tersebut tidak dapat dipertimbangkan sebagai tuntutan faraid, ruang kebajikan masih boleh diberikan berdasarkan pertimbangan yang bersesuaian. Katanya, pendekatan ini mencerminkan sifat ihsan dan keprihatinan dalam membantu golongan yang berada dalam keadaan memerlukan.

Beliau turut menegaskan bahawa Baitulmal bukan sekadar berperanan mengurus dan memelihara harta yang menjadi amanah umat Islam, tetapi turut mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan nilai kebajikan dan kemanusiaan sentiasa diberikan perhatian dalam pelaksanaan amanah tersebut.

Menurut beliau lagi, penyaluran sumbangan kebajikan dalam kes berkenaan merupakan satu bentuk keprihatinan yang mengambil kira keadaan penerima tanpa menjejaskan prinsip serta ketetapan hukum syarak berkaitan pembahagian harta pusaka.

“Pendekatan yang dilaksanakan ini menunjukkan bahawa hukum syarak dan nilai ihsan dapat dilaksanakan secara seimbang. Amanah terhadap harta umat Islam tetap dipelihara, manakala aspek kebajikan kepada mereka yang memerlukan turut diberikan perhatian,” katanya.

Dato’ Haji Ahmad Faisal berharap sumbangan yang disampaikan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada penerima serta menjadi tanda keprihatinan MAINJ melalui Bahagian Baitulmal terhadap masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Penghargaan dan terima kasih turut dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan amanah ini dapat dilaksanakan dengan penuh tertib, hikmah dan keprihatinan.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin