Majlis penyampaian sumbangan dan amanat kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah bagi tahun 2026 telah berlangsung di Horizon Hills Golf & Country Club, Johor Bahru.
Amanat disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Fared Haji Mohd Khalid kepada para pelajar yang bakal berangkat melanjutkan pengajian, antaranya ke Mesir dan Jordan.
Dalam amanatnya, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pelajar yang berjaya dan terpilih untuk melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.Menurut beliau, pemilihan tersebut bukanlah sesuatu yang biasa, sebaliknya merupakan satu amanah besar dan peluang amat berharga yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.“Anak-anak semua bukan sahaja membawa harapan keluarga dan masyarakat, tetapi membawa nama baik Negeri Johor serta Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor dan MAINJ sentiasa meletakkan agenda pendidikan sebagai salah satu keutamaan, selaras dengan titah dan panduan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Johor agar sektor pendidikan terus diperkasakan.Bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di Mesir, MAINJ menyediakan bantuan Dermasiswa sebanyak RM9,000 setahun sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kepada setiap pelajar sebanyak RM36,000.Mohd Fared berkata, bantuan berkenaan merupakan antara usaha MAINJ dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke luar negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa serta para pelajar agar sentiasa menghargai dan mengiktiraf peranan MAINJ yang turut bersama-sama memikul sebahagian tanggungjawab keluarga dalam memastikan anak-anak Johor memperoleh peluang pendidikan terbaik.Menurut beliau, usaha tersebut juga membuktikan keprihatinan MAINJ dalam menghargai kesungguhan dan pengorbanan anak-anak Johor yang tekun menuntut ilmu serta membawa nama Bangsa Johor di persada antarabangsa.Para pelajar yang dihantar ke Timur Tengah turut membawa tanggungjawab sebagai duta Negeri Johor, khususnya dalam menimba ilmu dan pengalaman yang kelak dapat dimanfaatkan untuk pembangunan agama serta masyarakat.Mohd Fared berkata, pengajian yang diceburi para pelajar bukan sahaja melibatkan bidang pengajian Islam, malah turut merangkumi bidang profesional termasuk perubatan dan pergigian.
Beliau menegaskan bahawa setiap bidang ilmu mempunyai peranan tersendiri dalam memberi manfaat kepada agama dan masyarakat, justeru para pelajar perlu memanfaatkan peluang pengajian yang diberikan dengan penuh kesungguhan dan rasa tanggungjawab.Beliau berharap para pelajar dapat membawa pulang segala ilmu, pengalaman serta kemahiran yang diperoleh sepanjang berada di luar negara untuk dicurahkan kembali kepada masyarakat serta menunaikan tanggungjawab kepada agama Islam dan Negeri Johor Darul Ta’zim.
