BANGUNAN MAINJ DAERAH PONTIAN WAJAH BAHARU, PERKHIDMATAN DIPERKASA

posted in: Umum | 0

PONTIAN, 17 September 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) hari ini menerima secara rasmi bangunan MAINJ Daerah Pontian yang telah siap dinaik taraf bagi mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam di daerah ini.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Ir. Tuan Haji Zainal Tumian kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Shafiei Ahamad.

Dalam ucapannya, Tuan Haji Shafiei berkata, penyerahan bangunan berkenaan amat bermakna kepada warga MAINJ Daerah Pontian setelah sebelum ini beroperasi bersama Pejabat Kadi Daerah Pontian.

Menurut beliau, penerimaan bangunan tersebut bukan sekadar menyediakan premis dan ruang kerja yang lebih baik, malah membawa amanah yang besar kepada seluruh warga MAINJ Daerah Pontian untuk memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti, cekap dan berkesan kepada masyarakat.

Mengambil pengajaran daripada firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 58, beliau mengingatkan bahawa setiap amanah yang diberikan hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baiknya kerana amanah turut merangkumi segala bentuk tanggungjawab yang dipikul oleh sesebuah institusi.

Beliau berkata, sebagai wakil MAINJ di peringkat daerah, MAINJ Daerah Pontian memainkan peranan penting dalam menguruskan urusan zakat, baitulmal dan wakaf, selain melaksanakan pelbagai agenda pembangunan ummah.

Justeru, kemudahan yang lebih baik itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan diterjemahkan melalui peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat yang berurusan dengan MAINJ Daerah Pontian.

Bangunan dua tingkat berkenaan dilengkapi dengan dua bilik mesyuarat, dewan seminar, dewan jamuan, surau serta ruang kerja yang lebih selesa dan sistematik, sekali gus memenuhi keperluan operasi seramai 14 orang warga kerja MAINJ Daerah Pontian.

Tuan Haji Shafiei turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan komitmen dalam memastikan projek menaik taraf tersebut dapat disiapkan dengan baik.

Beliau turut mendoakan agar bangunan MAINJ Daerah Pontian sentiasa berada dalam keberkatan Allah SWT, menjadi pusat yang memberi manfaat kepada masyarakat serta terus menyumbang kepada pembangunan ummah yang sejahtera dan maju.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin