MAINJ SERAH TIGA RUMAH BAHARU KEPADA ASNAF DI KOTA TINGGI

posted in: Asnaf, Bantuan | 0

KOTA TINGGI, 28 September – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) meneruskan komitmen dalam meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf menerusi Program Penyerahan Bantuan Bina Baru Rumah MAINJ yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar daerah Kota Tinggi, hari ini.

Sebanyak tiga buah rumah baharu diserahkan kepada penerima, masing-masing Mohd Rizzwan Shari di Kampung Lukut, Idris Madias di Kampung Temenin Baru dan Norashikin Mustafah di Kampung Temenin Lama.

Program turut dimulakan dengan ziarah dan penyerahan bantuan rumah kepada Mohamad Adaieni Adi di Batu 7, Kampung Sayang, sebelum diteruskan dengan aktiviti gotong-royong di kediaman penerima.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Tuan Haji Md. Burhanuddin Haji Tibek.

Dalam ucapannya, beliau berpesan kepada penerima supaya menjaga kediaman yang disediakan dengan sebaik-baiknya serta menjadikannya sebagai tempat membina kehidupan keluarga yang lebih tenang, selesa dan ceria.

“Apabila mula masuk ke rumah nanti, bacalah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah. Mudah-mudahan rumah ini sentiasa tenang dan berseri kerana ketenangan itu Allah SWT yang berikan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan penerima menceriakan dan menghijaukan kawasan kediaman termasuk menanam rumput serta menjaga kebersihan persekitaran agar rumah sentiasa kelihatan kemas, sedap mata memandang dan memberi ketenangan jiwa.

Menurutnya, Kota Tinggi merupakan daerah keempat bagi pelaksanaan program berkenaan dan beliau turut menghargai komitmen Team Insaniah yang berganding bahu melaksanakan aktiviti gotong-royong di kediaman penerima.

Beliau berharap semangat kerjasama tersebut dapat diperkukuhkan bagi memastikan lebih ramai keluarga asnaf mendapat manfaat daripada usaha kebajikan yang dilaksanakan.

Dalam pada itu, Tuan Haji Md. Burhanuddin menjelaskan bahawa peranan MAINJ dalam membantu golongan asnaf bukan hanya tertumpu kepada pembinaan dan baik pulih rumah.

Sebaliknya, MAINJ turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan sara hidup, pendidikan, perubatan, hemodialisis, bantuan kesusahan, bantuan berdikari serta pelbagai skim bantuan zakat lain berdasarkan keperluan golongan asnaf.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya memberi perhatian terhadap aspek pemakanan dan penjagaan kesihatan berikutan kos rawatan yang tinggi serta keperluan terhadap bantuan perubatan yang semakin meningkat.

“Hidup ini kena ceria. Jagalah rumah kita elok-elok. Rumah yang baik dan persekitaran yang bersih bukan sahaja sedap mata memandang, malah memberi ketenangan kepada keluarga,” katanya.