SEMINAR ZAKAT EMAS PERKASA KEFAHAMAN DAN TANGGUNGJAWAB BERZAKAT

posted in: Zakat | 0

PONTIAN, 28 September 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Pontian telah menganjurkan Program Seminar Zakat Emas Daerah Pontian bertempat di MAINJ Daerah Pontian dengan penyertaan ahli-ahli PUSPANITA Daerah Pontian.

Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman peserta mengenai pengurusan zakat, khususnya berkaitan zakat emas, hukum serta tanggungjawab menunaikan zakat, di samping memberi pendedahan mengenai pengurusan wang tidak patuh syariah.

Amin Baitulmal MAINJ Daerah Pontian, Ustazah Aishah Abu Bakar menyampaikan perkongsian bertajuk “Pengurusan Zakat” dengan memberi penerangan mengenai peranan MAINJ dalam pengurusan kutipan dan agihan zakat.

Turut hadir, Pengerusi PUSPANITA Daerah Pontian, Prof. Ir. Ts. Dr. Hjh. Raha Abd Rahman, bersama ahli-ahli PUSPANITA Daerah Pontian.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam MAINJ, Ustaz Lukmanul Hakim Ab Rahman menyampaikan tajuk “Zakat Emas: Hukum dan Tanggungjawab”, merangkumi penerangan mengenai hukum, syarat serta tanggungjawab umat Islam dalam menunaikan zakat emas.

Program turut diisi dengan perkongsian bertajuk “Wang Tidak Patuh Syariah” oleh Penolong Pengarah Baitulmal MAINJ, Ustaz Sh. Hafie Awab, yang memberi penerangan mengenai pengurusan dan penyaluran wang berkenaan mengikut ketetapan syarak.