STREET DAKWAH SEMARAK BUDAYA WAKAF DI PONTIAN

posted in: Wakaf | 0

PONTIAN, 26 September – Program Street Dakwah Saham Wakaf Johor 2026 Daerah Pontian melabuhkan tirainya hari ini selepas dua hari pelaksanaan dengan pelbagai pengisian dakwah, pendidikan dan kemasyarakatan dalam usaha mendekatkan masyarakat kepada amalan wakaf.

Majlis penutupan yang berlangsung di Dewan Assalam, Maahad Pontian telah disempurnakan oleh Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Negeri Johor, YBhg. Dato’ Haji Ikbal Haji Salam.

Program hari kedua mendapat penyertaan pelajar Maahad Pontian serta komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti santai dan interaktif termasuk Pertandingan Liga Penalti, Dart, Memanah dan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, selain aktiviti gotong-royong di Surau Maahad Pontian serta penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Turut diadakan kuiz serta aktiviti mengikuti platform media sosial rasmi MAINJ, sekali gus memberi peluang kepada peserta mengenali dengan lebih dekat peranan MAINJ serta menambah pengetahuan berkaitan wakaf dan Saham Wakaf Johor.

Pada majlis sama, manfaat wakaf berjumlah RM10,000 diserahkan kepada Pusat Darul Quran, Pulai Sebatang, sebagai sebahagian usaha MAINJ memperluaskan manfaat wakaf kepada institusi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Program Street Dakwah kali ini turut menyantuni tiga orang pewakaf menerusi sesi ziarah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam menyuburkan amalan wakaf.

Dalam ucapannya, Dato’ Haji Ikbal menekankan bahawa masyarakat tidak perlu menunggu sehingga mempunyai kemampuan yang besar untuk berwakaf, sebaliknya amalan tersebut boleh dimulakan mengikut kemampuan masing-masing menerusi Saham Wakaf Johor serendah RM10.

Beliau turut berkongsi mengenai perkembangan institusi wakaf di Johor termasuk konsep wakaf bertempoh (wakaf muaqqat) yang membolehkan manfaat sesuatu harta diwakafkan bagi tempoh tertentu, di samping wakaf bersifat kekal atau muabbad.

Sambutan masyarakat terhadap program berkenaan turut menyaksikan RM22,000 Saham Wakaf Johor berjaya dikumpulkan sepanjang dua hari penganjuran, mencerminkan sokongan masyarakat Pontian terhadap usaha membudayakan amalan wakaf.

“Tak boleh buat semua, jangan tinggal semua. Buat dalam kemampuan kita.”

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai pengisian telah dilaksanakan termasuk Program Anakku Sayang, taklimat Saham Wakaf Johor, Program Sentuhan Hati Sebelum Jumaat, bacaan Yasin bersama HELWA Daerah Pontian serta Forum Perdana Hal Ehwal Islam, selain pelbagai aktiviti mendekati komuniti setempat.

Dato’ Haji Ikbal berharap momentum yang dicetuskan menerusi program berkenaan dapat diteruskan selepas program berakhir, sekali gus menjadikan wakaf sebagai amalan yang dekat dengan kehidupan masyarakat serta mampu memberi manfaat secara berterusan.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah

Maahad Pontian, Hajah Rafeah Dato’ Haji Kiai Shamsuddin; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, Encik Ariffin Bajuri; Pengetua Maahad Pontian, Tuan Haji Mohamad Hakim Haji Sohali; Penolong Pengarah Bahagian Wakaf MAINJ, Ustaz Nur Asraf Hashim; Amin Baitulmal MAINJ Daerah Pontian, Ustazah Aishah Haji Abu Bakar; Penghulu Mukim Pontian, Mohd Muhaimin Husin; barisan pegawai MAINJ, warga pendidik serta pelajar.

Penganjuran Street Dakwah Saham Wakaf Johor merupakan antara pendekatan MAINJ dalam membawa mesej wakaf lebih dekat kepada masyarakat melalui gabungan dakwah, pendidikan dan aktiviti komuniti, khususnya dalam menyemai kesedaran berwakaf dalam kalangan generasi muda.

#AmazingMAINJ#MAINJprihatin