KLUANG, 30 September 2026 – Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan kerjasama Pejabat Kadi Daerah Kluang menganjurkan Seminar Kefahaman Islam dan Sumber Am (Wang Tidak Patuh Syariah) di Dewan Masjid Bandar Kluang.
Penganjuran seminar itu merupakan antara usaha Bahagian Baitulmal MAINJ dalam memperluas kefahaman masyarakat mengenai pengurusan harta menurut syariat, khususnya berkaitan wang tidak patuh syariah, di samping memperkukuh kefahaman asas akidah dalam kalangan peserta.
Seminar yang melibatkan guru-guru takmir Daerah Kluang dan saudara baharu itu turut menjadi ruang perkongsian ilmu berkaitan tanggungjawab umat Islam dalam memastikan sumber dan pengurusan kewangan sentiasa berlandaskan hukum syarak.
Pengisian berkaitan akidah disampaikan oleh Guru Takmir Daerah Tangkak, Ustaz Shamsul Zaabar menerusi perbahasan Kitab Matan Sanusiah, manakala aspek pengurusan wang tidak patuh syariah dikupas oleh Penolong Pengarah Baitulmal MAINJ, Ustaz Sh. Hafie Awab.
Peserta turut diberikan penjelasan mengenai konsep dan kaedah pengurusan wang tidak patuh syariah termasuk saluran yang dibenarkan bagi memastikan pengurusannya menepati ketetapan hukum syarak.
Kadi Daerah Kluang, As-Syeikh Haji Amir Mohd Noor dalam ucapannya mengingatkan peserta supaya ilmu yang diperoleh bukan sahaja difahami, malah diamalkan dalam kehidupan.
Seminar disempurnakan oleh Amin Baitulmal MAINJ Daerah Kluang, Ustaz Norhisham Md Sawal yang menekankan kepentingan memperoleh dan mengurus harta daripada sumber yang halal demi keberkatan kehidupan.
Beliau turut mengajak umat Islam yang mempunyai kewajipan fidyah agar tidak menangguhkan pembayarannya dan menyelesaikan tanggungjawab tersebut sebaik sahaja berkemampuan.
Bagi memudahkan urusan, pembayaran fidyah boleh dilaksanakan secara dalam talian menerusi e-Fidyah MAINJ dengan mudah dan pantas. Tunaikan kewajipan fidyah lebih awal agar tanggungjawab tidak terlepas atau terlupa.
