JOHOR BAHRU, 8 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerima zakat korporat berjumlah RM150,000 daripada Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., syarikat pengendali restoran McDonald’s Malaysia, menerusi Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald’s Johor dan Sumbangan Kepada Asnaf yang berlangsung di McDonald’s Pandu-Lalu Bandar Baru UDA, hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor merangkap Timbalan Pengerusi MAINJ, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid.
Menurut beliau, penyerahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan zakat perniagaan yang ditunaikan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. kepada MAINJ sejak tahun 2020 mencecah RM1.051 juta.
Beliau turut menegaskan bahawa zakat bukan sekadar kewajipan agama, malah merupakan amanah dalam membantu golongan memerlukan serta memastikan kejayaan perniagaan dapat dikongsi manfaatnya bersama masyarakat.
Turut hadir, Pengarah Pematuhan dan Kerjasama Institusi McDonald’s Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Ahmad Shihafudin Mustapha serta Ahli Majlis MAINJ, Tuan Haji Md. Burhanuddin Haji Tibek dan Tuan Haji Ramly Haji Jusoh.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Kotak Rezeki kepada golongan asnaf serta sumbangan komputer riba menerusi wakalah zakat kepada lima pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi membantu keperluan pembelajaran mereka.
Selain itu, sumbangan berjumlah RM2,000 turut disampaikan kepada pelajar Madrasah Tahfiz Dar Absyir (MTDA) bagi membantu kebajikan dan keperluan harian mereka.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAINJ, Mohd Mackeen Haji Mohd Shafiee; Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAINJ, Tuan Haji Azlan Abdullah; Pemilik dan Pengendali Restoran McDonald’s Petronas Pasir Gudang dan Pandu-Lalu Kota Masai, Puan Napisah Hassan serta Perunding Operasi Cawangan Johor Bahru City Center, Rizwan Mahat.
Majlis turut dihadiri Ketua Polis Balai Tampoi, ASP Wan Marzuki Wan Sohak serta Ustazah Zurina Muhammad bersama rombongan UTHM.
MAINJ merakamkan penghargaan kepada pihak McDonald’s atas komitmen menunaikan kewajipan zakat serta keprihatinan menyantuni golongan yang memerlukan, sekali gus memperkukuh kerjasama antara institusi zakat dan sektor korporat demi kesejahteraan ummah.
#AmazingMAINJ#MAINJprihatin
https://www.facebook.com/share/1FKqC5sS9i/?mibextid=wwXIfr








