MAINJ PERKASA SAHSIAH PELAJAR KEMAHIRAN MELALUI PENGISIAN KEROHANIAN DAN ZAKAT

posted in: Asnaf, Bantuan, Zakat | 0

KLUANG, 9 Oktober 2026 – Pembangunan kemahiran perlu seiring dengan pengukuhan ilmu agama dan pembentukan sahsiah diri. Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) meneruskan usaha tersebut menerusi Program Pengisian Kerohanian Berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Zakat di Kolej Kemahiran Johor Kluang.

Program ini melibatkan kakitangan kolej serta pelajar tajaan MAINJ yang mengikuti Kursus Modular Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa bagi melahirkan generasi berkemahiran yang turut memiliki kefahaman agama dan jati diri yang kukuh.

Pengisian kerohanian disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Johor, Ustaz Esby Islami Rifai menerusi ceramah bertajuk “Ahli Sunnah Wal Jamaah: Kefahaman dan Cabaran Akidah Era Moden” yang memberi penekanan terhadap kepentingan memelihara akidah dalam mendepani cabaran kehidupan masa kini.

Sementara itu, Pegawai MAINJ, Ustaz Muhammad Zikry Ziman menyampaikan taklimat zakat yang memberikan pendedahan mengenai kewajipan berzakat serta peranannya dalam membangunkan ekonomi dan membantu golongan yang memerlukan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif Bisnes dan Pemasaran, Encik Samsul Abdullah serta Ketua Kolej Kemahiran Johor Kluang, Puan Siti Azlina Paiman.

Melalui pengisian ini, MAINJ terus memberi penekanan terhadap keseimbangan antara pembangunan kemahiran dan penghayatan ilmu agama sebagai bekalan penting kepada para pelajar dalam membina masa depan yang lebih baik.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin

https://www.facebook.com/share/19rSK3KLxb/?mibextid=wwXIfr