MAINJ SANTUNI ASNAF DI PULAU TANJUNG SURAT

posted in: Bantuan | 0

KOTA TINGGI, 3 Nov – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Kota Tinggi menganjurkan Program Ziarah Kasih Santuni Asnaf di Pulau Tanjung Surat, Kota Tinggi, hari ini.

Program yang merupakan salah satu pengisian Kempen Barakah Zakat 2026 bertemakan “Kira. Bayar. Berkat.” itu disempurnakan oleh Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Tuan Haji Ramly Haji Jusoh.

Menurut beliau, kehadiran MAINJ ke Pulau Tanjung Surat membuktikan bahawa jarak dan kedudukan geografi bukan penghalang untuk menyampaikan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Kami mahu memastikan setiap golongan asnaf, termasuk mereka yang menetap di kawasan pulau, terus mendapat perhatian dan manfaat daripada bantuan zakat yang disalurkan,” katanya.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAINJ, Mohd Mackeen Mohd Shafiee; Penolong Pengarah Bahagian Baitulmal MAINJ, Ustaz Sh. Haffie Awab; Amin Baitulmal MAINJ Daerah Kota Tinggi, Ustaz Mohd Azri Esa serta Ketua Kampung Tanjung Surat, Tuan Haji Mohd Lazim Atan.

Menerusi program berkenaan, MAINJ menyampaikan bantuan Dapur Asnaf kepada 100 penerima dalam bentuk barangan makanan asas dan keperluan dapur bagi membantu meringankan beban kehidupan seharian.

Program turut diisi dengan kunjungan ziarah ke empat buah kediaman melibatkan Siti Hajar Abd Latiff, Anisah Rahmat, Salam Mansor dan Aziz Jantan yang kediamannya mengalami kerosakan selepas ditimpa pokok tumbang susulan kejadian ribut. Beliau menerima bantuan berupa barangan makanan asas, keperluan dapur serta wang tunai, manakala permohonan bantuan baik pulih rumahnya kini dalam proses kelulusan MAINJ.

Selain itu, Bahagian Baitulmal MAINJ turut menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah dengan kerjasama masyarakat setempat serta menyampaikan 10 kit pengurusan jenazah kepada kariah kampung bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan tuntutan fardu kifayah.