KULAI, 5 November 2026 – Sebanyak 18 pembayar zakat perniagaan menunaikan zakat berjumlah RM9,298,110.38 kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sempena Majlis Serahan Zakat Perniagaan di Impiana Hotel, Kulai, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid sempena Program Barakah Zakat 2026 bertemakan “Kira, Bayar, Berkat”.
Beliau berkata, pembayaran zakat perniagaan oleh sektor korporat bukan sahaja membuktikan kejayaan sesebuah syarikat, malah memperlihatkan komitmen dalam menunaikan tanggungjawab agama serta membantu meningkatkan kesejahteraan golongan yang memerlukan.
Antara pembayar zakat perniagaan yang terlibat ialah Lembaga Pelabuhan Johor, Brightmark Sdn. Bhd., Zara Foodstuff Industries Sdn. Bhd., Nasi Lemak Lobster JBS, Pos Ar Rahnu Sdn. Bhd., Selia Selenggara Sdn. Bhd., Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Medan, Batu Pahat, Affin Islamic Bank Berhad, MAINJ Urus Sdn. Bhd. serta beberapa syarikat dan usahawan lain.
Majlis turut menyaksikan penyerahan manfaat wakaf berupa sumbangan peralatan perubatan berjumlah RM344,000 kepada tiga penerima, merangkumi sebuah mesin ultrabunyi (ultrasound) bernilai RM120,000 kepada Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, dua unit mesin hemodialisis bernilai RM76,000 kepada Pusat Dialisis Muafakat Felda Linggiu serta tiga unit mesin dialyser bernilai RM148,000 kepada MAINJ Urus Sdn. Bhd.
Selain itu, bantuan zakat berjumlah RM47,341 turut disampaikan kepada tiga penerima, iaitu Zawawi Gatot yang menerima bantuan rawatan hemodialisis sebanyak RM35,760 setahun, Fatihah ‘Atiqah Mukram menerima bantuan tambang tiket pengajian luar negara ke Universiti Ibrahim Cecen Agri, Türkiye berjumlah RM1,581 serta Lili Elena Muhamad Syafiq menerima bantuan rawatan jantung sebanyak RM10,000.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sehingga 2 November 2026, MAINJ merekodkan kutipan zakat sebanyak RM318.25 juta, manakala agihan zakat telah mencapai RM357.48 juta bagi membantu golongan asnaf di negeri Johor.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak syarikat tampil menunaikan zakat perniagaan melalui saluran rasmi bagi memastikan hasil kutipan dapat diurus dan diagihkan secara berkesan demi kesejahteraan ummah.

























