KLUANG, 12 NOVEMBER 2026 – Seramai 20 peserta berjaya menamatkan Program Modular Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan kerjasama Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) melalui Kolej Kemahiran Johor.
Program selama tiga bulan bermula Ogos hingga November 2026 ini turut melibatkan enam syarikat tempatan yang bersedia menyediakan peluang penempatan pekerjaan kepada peserta.
Majlis Tamat Latihan telah disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Zakuan bin Ghazali, Penolong Pengarah Agihan Zakat MAINJ di Hotel Prime City, Kluang. Turut sama Tuan Haji Mohd Fahmi bin Salam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa usaha MAINJ bukan sekadar menyediakan bantuan kebajikan, malah turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan bagi membantu golongan asnaf meningkatkan taraf kehidupan serta berdikari.
Beliau berharap kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para peserta untuk membina kerjaya dan membantu meningkatkan ekonomi keluarga.
