USAHA PENYELESAIAN STATUS TAPAK MASJID AL-ISLAH KLUANG DIPERKUKUH

posted in: Wakaf | 0

KLUANG – Satu sesi taklimat dan lawatan tapak telah diadakan di Masjid Al-Islah, Jalan Haji Manan, Kluang bagi membincangkan usaha penyelarasan dan penyelesaian beberapa perkara berkaitan status tapak serta pengurusan pembangunan masjid berkenaan.

Sesi tersebut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Anuar Abd Manap; Mufti Negeri Johor, Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya Ahmad serta Ahli Dewan Negeri (ADUN) Mahkota, YB Tuan Syed Hussien Syed Abdullah.

Perkara berkaitan status tapak masjid ini telah mendapat perhatian sejak sekian lama dan beberapa siri perbincangan turut diadakan bersama agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah Kluang dan Pejabat Tanah Daerah.

Taklimat dan perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti kaedah penyelesaian terbaik berkaitan status tapak serta aspek teknikal dan pentadbiran bangunan masjid bagi memastikan segala urusan dapat diselaraskan mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan.

Melalui kerjasama dan penyelarasan berterusan antara agensi terlibat, usaha ini diharap dapat menghasilkan penyelesaian yang menyeluruh demi memastikan kemudahan dan keselesaan jemaah serta masyarakat setempat terus terpelihara.