Majlis Bantuan Kasih Johor

posted in: Asnaf, Bantuan | 0

RENGAM – Lebih 2,000 orang hadir memeriahkan Majlis Bantuan Kasih Johor yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Chiang, Rengam, di sini hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berhormat Tuan Haji Abd Mutalip bin Haji Abd Rahim, melibatkan seramai 410 orang pelajar asnaf dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM61,500.00.

Turut hadir Penolong Pengarah Agihan Zakat, Ustaz Mohamad Zakwan Ghazali, Amin Baitulmal Daerah Kluang, Ustaz Norhisham Md Sawal, serta para guru dan penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.

Majlis ini turut memberi manfaat kepada kira-kira 60 orang anak yatim, melibatkan penerima daripada kalangan beragama Islam dan bukan Islam, selaras dengan pendekatan dakwah melalui kebajikan serta semangat membantu sesama insan tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Program ini merupakan sebahagian daripada fasa pelaksanaan Bantuan Kasih Johor, yang merangkumi 42 bentuk inisiatif bantuan melibatkan aspek pendidikan, sosial, kemaslahatan serta bekalan makanan, demi kesejahteraan rakyat negeri Johor.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Tuan Haji Abd Mutalip menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, sambil menegaskan bahawa setiap sumbangan yang diterima daripada rakyat akan dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai program kebajikan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penjawat awam yang bertugas dengan penuh dedikasi serta para guru yang gigih mendidik anak-anak murid demi masa depan generasi akan datang. Program sebegini, katanya, amat bermakna dalam meringankan beban ibu bapa, khususnya ketika kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat agar sentiasa bersyukur, mengurus rezeki dengan berhemah, mengelakkan pembaziran serta menunaikan zakat apabila cukup haul bagi memastikan keberkatan dalam kehidupan. Amalan berinfak juga disifatkan sebagai kunci kepada keberkatan hidup dan kesejahteraan bersama.

Semoga negeri Johor terus menerima rahmat dan naungan daripada Allah SWT, dan diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan serta diperluaskan pada masa akan datang demi manfaat seluruh rakyat.

#amazingmainj

#MainjPrihatin

#mainj100tahun

#BantuanKasihJohor