JOHOR BAHRU: Anaqi Mikhael, 9, yang menghidap kegagalan hati sejak lahir, akan menjalani pembedahan pemindahan hati di Renji Hospital, Shanghai, China, selepas dana sebanyak RM185,000 berjaya dikumpul melalui sumbangan pelbagai pihak.
Ibu bapa Anaqi, Syahira Sarbini dan Mohamad Sharafi Mokhtar, bersama sukarelawan Biliary Atresia Malaysia Association (BAMA), akan mengiringi Anaqi ke China. Pembedahan dijangka mengambil masa kira-kira lapan jam, dengan rawatan susulan antara 14 hingga 40 hari.
Syahira berkata, “Buat masa ini, tahap kesihatan Anaqi masih sama termasuk bergantung bantuan oksigen dan mudah letih. Dia mulanya menyatakan gentar menjalani pembedahan, namun kami memberi semangat hingga dia memahami kepentingan pembedahan ini,” katanya selepas menerima replika cek sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Johor yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Haji Asman Shah Abd Rahman dan Penasihat MAINJ, Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Mohd Radzi Mohd Amin.
Majlis Agama Islam Negeri Johor turut menyumbang RM125,000 bagi kos pembedahan serta beg oksigen bernilai RM17,000. Syahira dan keluarga mengucapkan terima kasih atas bantuan MAINJ, BAMA, dan semua penderma, berharap pembedahan ini memberi harapan baharu kepada Anaqi.
#amazingmainj
#MainjPrihatin


