TABUNG KASIH JOHOR–PALESTIN: RAKYAT PALESTIN DI KEM AL MARKA, JORDAN TERIMA MANFAAT

posted in: Umum | 0

5 Januari 2026 – Misi 3.0 Bangsa Johor sekali lagi membuktikan solidariti dan keprihatinan terhadap perjuangan rakyat Palestin melalui pelaksanaan bantuan kemanusiaan di Kem Pelarian Al Marka, Jordan.

Hasrat murni seluruh Bangsa Johor yang digagaskan dengan penuh perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, telah berjaya diterjemahkan secara nyata melalui penganjuran misi ini.

Bagi tahun ketiga berturut-turut, YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi telah menetapkan agar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin ini terus dilaksanakan sebagai komitmen berterusan Kerajaan Negeri Johor terhadap isu kemanusiaan sejagat.

Misi ini dilaksanakan oleh delegasi Negeri Johor yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd Khalid dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), serta dengan kebenaran Kerajaan Jordan dan United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA).

Kem Pelarian Al Marka yang ditubuhkan sekitar tahun 1950, merupakan tempat perlindungan bagi rakyat Palestin. Kini, kem ini dihuni oleh kira-kira 35,000 orang pelarian dan merupakan salah satu daripada 13 kem pelarian yang beroperasi dengan sokongan UNRWA di Jordan.

Kemudahan asas seperti sekolah dan klinik kesihatan disediakan bagi memenuhi keperluan penduduk. Walaupun sebahagian pelarian telah memiliki kewarganegaraan Jordan, identiti Palestin serta hak pulang (Right of Return) terus dipelihara sebagai amanah perjuangan generasi ke generasi.

Kem Al Marka bukan sekadar sebuah penempatan, malah menjadi simbol ketahanan, memori perjuangan dan solidariti rakyat Palestin dalam menghadapi penindasan yang berpanjangan.

Alhamdulillah, serahan bantuan berjaya dilaksanakan melibatkan kelengkapan musim sejuk, termasuk barangan makanan asas dan selimut tebal, bagi meringankan beban kehidupan penduduk kem, khususnya dalam menghadapi cuaca sejuk.

Turut hadir memeriahkan program ialah Puan Aimaani, wakil daripada UNRWA, sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap usaha Bangsa Johor ini.

Tabung Kasih Johor–Palestin akan terus dibuka sebagai lambang kesungguhan dan keprihatinan berterusan Bangsa Johor dalam menyokong perjuangan serta kebajikan rakyat Palestin.

Credit: YB Mohd Fared Mohd Khalid