Majlis dimulakan dengan Wacana Ilmiah yang disampaikan oleh Penasihat MAINJ, YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh bin Gadot, serta Pengarah Urusan KUIJSI, Dato’ Mustafa Kamal bin Dato’ Kiyai Haji Samsudin, yang memberi pengisian ilmu dan nasihat bermakna kepada para pelajar.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Dato’ Haji Nasri Rahman, Duta Besar Malaysia ke Kerajaan Hashemite Jordan, bersama isteri serta pegawai-pegawai kanan Kedutaan Besar Malaysia di Jordan.
Majlis seterusnya disempurnakan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid yang menekankan kesungguhan Kerajaan Negeri Johor dalam memperkasa pendidikan di semua peringkat. Dalam masa yang sama, perangsang dan motivasi turut disampaikan agar anak-anak Johor terus belajar dengan tekun, mencapai kecemerlangan serta kelak pulang berbakti kepada agama, bangsa dan negeri Johor.
Sejak tahun 2023, Kerajaan Negeri Johor telah menyalurkan sumbangan RM50,000 setahun kepada Persatuan Kebajikan Anak-anak Johor di Jordan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebajikan.
Bagi tahun ketiga, 2025, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, sekali lagi berbesar hati meneruskan sumbangan tersebut, selain setiap pelajar turut menerima duit kocek sebanyak RM300 seorang.
Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan anak-anak Johor di sini serta mengurniakan kejayaan dalam pengajian mereka, dan semuanya pulang ke tanah air dengan penuh kecemerlangan.
Aamiin.










