Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Semalam kami berkesempatan menyempurnakan Program Bantuan Kotak Makanan di bawah Misi Bantuan Kasih Johor–Palestin 3.0 yang bertempat di sebuah gudang di Abou Rawash, Giza, Kaherah.
Program ini dilaksanakan oleh delegasi Kerajaan Negeri Johor yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid sebagai kesinambungan kejayaan misi Kerajaan Negeri Johor di Amman, Jordan sebelum ini.
Di Kaherah, sebanyak 2,066 kotak makanan telah disediakan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk Palestin. Setiap kotak mengandungi keperluan asas seperti tepung, minyak masak, pasta, dan pelbagai barangan kering lain yang akan dihantar ke Gaza dengan kerjasama Egyptian Red Crescent.
Secara keseluruhan, Misi Bantuan Kasih Johor–Palestin 3.0 ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta, hasil sumbangan ikhlas Bangsa Johor melalui Tabung Kasih Johor–Palestin.
Misi ini merangkumi enam (6) bentuk bantuan utama, iaitu:
Dapur Kasih Johor
(Hidangan bermasak di Gaza)
RM1.032 juta
Bantuan Musim Sejuk
RM197,340
Perbekalan Air Bersih
RM205,920
Persiapan Ramadan
RM95,400
Kotak Makanan dari Kaherah
RM372,252
Bantuan ke Kem Pelarian
RM621,188
Secara keseluruhan, bantuan ini disasarkan memberi manfaat secara langsung kepada lebih 350,000 penduduk Palestin yang terkesan. Kerajaan Negeri Johor kekal komited dan bersungguh-sungguh dalam memastikan amanah rakyat Johor sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak MAHAR serta seluruh delegasi yang menjayakan misi ini. Penghargaan khas juga kepada ASP Mohd Refaie bin Mohsin, Setiausaha Pertama (Keselamatan), Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah atas bantuan dan sokongan sepanjang keberadaan kami di sini.
Mohon doa daripada semua agar urusan penghantaran bantuan ini dipermudahkan dan semoga Palestin segera dibebaskan serta dikurniakan keamanan.









