150 Keluarga Asnaf diraikan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor

posted in: Asnaf, Bantuan | 0

JOHOR BAHRU, 11 Mac – Seramai 150 ketua keluarga asnaf bersama pasangan dan anak-anak mereka diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, semalam.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan duit Raya daripada dana zakat bagi membantu golongan asnaf membuat persiapan menyambut Syawal yang bakal tiba.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid.

Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada para asnaf menikmati juadah berbuka puasa bersama, malah turut membuka ruang kepada mereka untuk bertemu dan beramah mesra secara lebih dekat dengan kepimpinan negeri.

Wajah kegembiraan dan kesyukuran jelas terpancar dalam kalangan penerima yang hadir, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan negeri serta sumbangan zakat yang disalurkan kepada mereka.

Majlis seumpama ini diharap dapat terus memperkukuh semangat kebersamaan serta menyemarakkan nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

#amazingmainj #mainjprihatin #semarakcintaramadan2026