MUAR, 13 Mei – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terus memperkukuh agenda kebajikan masyarakat menerusi pelaksanaan Program Ziarah Kasih MAINJ 1447H yang berlangsung di Pusat Jagaan Sinar Kasih, Muar hari ini.
Program disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAINJ, Tuan Haji Azlan Abdullah.
Dalam ucapannya, beliau berkata program itu merupakan sebahagian usaha kebajikan dan tanggungjawab sosial MAINJ dalam membantu golongan memerlukan khususnya warga emas di negeri ini.
Menurut beliau, kehadiran MAINJ bukan sahaja untuk menziarahi penghuni pusat jagaan, malah bagi mengeratkan hubungan kerjasama dengan institusi kebajikan serta mengenal pasti keperluan semasa pusat jagaan untuk bantuan pada masa hadapan.
“MAINJ sentiasa komited membantu golongan memerlukan termasuk warga emas melalui dana Baitulmal demi memastikan kebajikan umat Islam di Negeri Johor terus terpelihara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MAINJ membelanjakan kira-kira RM1.1 juta sebulan bagi menyalurkan bantuan kepada pusat-pusat jagaan di seluruh Negeri Johor, manakala Pusat Jagaan Sinar Kasih menerima bantuan berjumlah RM129,800 setahun bagi tahun 2025.
Tambah beliau, usaha menjaga dan menyantuni warga emas merupakan amalan yang sangat mulia di sisi Islam serta perlu dipikul bersama oleh seluruh masyarakat.
“Menjaga ibu bapa yang tua dan terlantar merupakan tanggungjawab besar dari sudut agama, moral dan kemanusiaan. Dalam Islam, ia termasuk antara amalan yang sangat mulia dan diberi ganjaran besar,” katanya.
Hadir sama Pengurus Pusat Jagaan Sinar Kasih, Tuan Haji Masrudin Misran; Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAINJ, Encik Mohd Mackeen Mohd Shafiee; Penolong Pengarah Baitulmal, Ustaz SH Haffie Awab; Amin Baitulmal Daerah Muar, Ustaz Muhammed Adzrul Taib,
Turut hadir, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Muar, Puan Noor Azliza Ismail; Timbalan Pengurus PERKESO Daerah Muar, Norfazillah Ishak serta Penghulu Mukim Seri Menanti, Tok Mohd Rahmat Abdul Hussain.
Beliau berkata anak-anak bertanggungjawab memberikan penjagaan asas termasuk makanan, kebersihan diri, tempat tinggal, rawatan kesihatan serta sokongan emosi dan rohani kepada ibu bapa yang uzur.
Katanya lagi, Islam turut menuntut agar anak-anak sentiasa bersabar dan menghormati ibu bapa walaupun ketika mereka berada dalam keadaan uzur dan sakit sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 23 yang melarang anak berkata kasar walaupun dengan perkataan “ah” kepada ibu bapa.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa menjaga ibu bapa tidak seharusnya dipikul oleh seorang anak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama adik-beradik sama ada dari sudut kewangan, giliran menjaga atau urusan rawatan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan dan petugas Pusat Jagaan Sinar Kasih atas komitmen serta pengorbanan mereka dalam menjaga kebajikan warga emas.
“Usaha ini adalah sebahagian amal kebajikan yang sangat besar nilainya di sisi Islam dan kami mendoakan agar segala urusan dipermudahkan serta diberkati Allah SWT,” katanya.
Beliau turut berharap hubungan kerjasama antara MAINJ dan institusi kebajikan akan terus diperkukuhkan demi kepentingan umat Islam di negeri ini.
#AmazingMAINJ
#MAINJprihatin



