MUAR – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi Bahagian Baitulmal telah menyampaikan sumbangan fidyah kepada 50 penerima terdiri daripada penduduk sekitar Mukim Sri Menanti dalam satu program yang berlangsung di Masjid Sri Menanti di sini, hari ini.
Sumbangan berkenaan melibatkan bantuan bakul makanan serta wang tunai bagi membantu meringankan keperluan harian penerima yang memerlukan.
Majlis penyampaian disempurnakan oleh Penolong Pengarah Baitulmal MAINJ, Ustaz Sh Hafie Awab bersama Amin Baitulmal Daerah Muar, Ustaz Mohd Adzrul Taib.
MAINJ turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi Masjid Sri Menanti serta Penghulu Mukim Sri Menanti, Mohd Rahmat Abdul Hussain atas kerjasama dalam menjayakan program tersebut.
Dalam ucapannya, Ustaz Sh Hafie berkata, tugas utama MAINJ adalah mengurus kutipan dan agihan zakat, wakaf serta baitulmal demi memastikan kebajikan masyarakat Islam di negeri ini terus terbela.
Beliau turut menjelaskan bahawa harta yang tidak diketahui pemiliknya, termasuk harta tidak patuh syarak, perlu diserahkan kepada baitulmal untuk diuruskan dengan sebaiknya demi manfaat umat Islam.
Menurut beliau, sumbangan fidyah yang diterima daripada masyarakat amat membantu golongan memerlukan, dengan kadar fidyah semasa ditetapkan sebanyak RM2.50 sehari atau satu perempat daripada kadar zakat fitrah.
“Saya amat menghargai waris yang masih mengingati fidyah ibu bapa mereka. Baru-baru ini kita menerima permohonan kiraan fidyah bagi seorang yang telah meninggal dunia pada usia 43 tahun dengan anggaran hampir RM17,000,” katanya.
Tambah beliau, bakul makanan yang disampaikan pada program berkenaan merupakan hasil sumbangan bayaran fidyah orang ramai dan bantuan tersebut diberikan secara ‘one-off’ kepada penerima terlibat.
Beliau turut memaklumkan bahawa kutipan fidyah MAINJ pada tahun lalu mencecah hampir RM11 juta, sekali gus membolehkan pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada masyarakat yang memerlukan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa individu yang membayar fidyah masih perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan sekiranya mampu berbuat demikian.
Selain itu, sebanyak 118 masjid di seluruh negeri Johor menerima program Gerobok Rezeki termasuk Masjid Sri Menanti bagi membantu penduduk yang terputus bekalan makanan mendapatkan keperluan asas dengan segera.
#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin





