JOHOR BAHRU – Impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah yang sebelum ini dianggap mustahil buat sebahagian golongan kurang berkemampuan kini menjadi kenyataan apabila seramai 100 orang asnaf terpilih menerima tajaan menunaikan ibadah umrah menerusi kerjasama antara ikhlas.com dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Majlis Serahan Tajaan Umrah Ikhlas.com bersama MAINJ telah disempurnakan perasmiannya oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Dato’ (Dr.) Haji Noh Gadot.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Dato’ Haji Mohd Radzi Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin, Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAINJ, Haji Azlan Abdullah serta pegawai-pegawai kanan MAINJ.
Program ini merupakan sebahagian daripada Kempen Umrah 1,000 Asnaf anjuran ikhlas.com sempena ulang tahun kelima platform gaya hidup Islam di bawah Capital A (dahulunya AirAsia). Kempen berkenaan menyasarkan golongan fakir miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan mualaf yang belum pernah menunaikan ibadah umrah.
Melalui inisiatif ini, setiap peserta menerima pakej lengkap super economy bernilai RM4,990 merangkumi penginapan, pengangkutan, makan dan minum, khidmat mutawif, serta lawatan ziarah sepanjang berada di Tanah Suci yang ditaja sepenuhnya oleh pihak ikhlas.com
Selain itu, MAINJ turut memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi membantu persiapan para asnaf yang terpilih termasuk pengurusan passport, vaksinasi, bagasi dan sebagainya.
Terima kasih kepada seluruh pembayar zakat di Negeri Johor yang terus menyokong usaha membantu dan menyantuni golongan memerlukan.
#AmazingMAINJ
#MAINJprihatin




