83 TELAGA WAKAF HASIL SUMBANGAN MAINJ BERI MANFAAT KEPADA PENDUDUK KAMPUNG CHAM

posted in: Umum | 0

KAMPUNG CHAM, KEMBOJA, 29 Julai – Delegasi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengadakan lawatan ke Kampung Cham yang terletak kira-kira 180 kilometer dari bandar Phnom Penh bagi meninjau pelaksanaan projek Telaga Wakaf hasil sumbangan masyarakat Islam di Negeri Johor, di sini hari ini.

Delegasi MAINJ diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Radzi Haji Mohd Amin. Turut hadir mengiringi lawatan, Timbalan Menteri Kementerian Kultus dan Agama Kemboja, H.E. Dr. Yob Ahskary (Asyary bin Aiyob), bersama wakil Kementerian Kultus dan Agama Kemboja serta Persatuan Kebajikan Pendidikan Islam Kemboja.

Sebanyak RM199,000.00 disalurkan oleh MAINJ bagi pembinaan 83 buah Telaga Wakaf di beberapa kawasan yang memerlukan bekalan air bersih. Hasil kerjasama erat antara Kementerian Kultus dan Agama Kemboja serta Persatuan Kebajikan Pendidikan Islam Kemboja, sebanyak 43 buah telaga telah siap dibina dan kini dimanfaatkan oleh penduduk setempat, manakala baki 40 buah telaga dijangka siap dalam masa terdekat.

Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi MAINJ untuk melihat sendiri pelaksanaan projek serta memastikan sumbangan wakaf yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan, khususnya dalam memenuhi keperluan bekalan air bersih.

Dalam lawatan yang sama, MAINJ turut menyampaikan sumbangan fidyah kepada penduduk Kampung Cham bagi membantu memenuhi keperluan makanan harian mereka.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin