FORUM PERDANA HAL EHWAL ISLAM PERKASA PERANAN WAKAF DEMI KESEJAHTERAAN UMMAH

posted in: Wakaf | 0

KULAI, 31 Julai – Bahagian Wakaf, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menganjurkan Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertemakan “Wakaf: Instrumen Pembangunan Sosioekonomi Ummah” di Masjid Al-Firdaus, Kampung Air Manis.

Kadi Daerah Kulai, As-Syeikh Haji Hamizan Sayuti dan Penolong Pengarah Wakaf MAINJ, Ustaz Nur Asraf Hashim berkongsi pandangan sebagai panel forum, sementara Amin Baitulmal Daerah Kulai, Ustazah Faiszah Mohd Danial bertindak sebagai moderator.

Dalam perkongsiannya, As-Syeikh Haji Hamizan Sayuti menjelaskan bahawa wakaf merupakan salah satu bentuk sedekah jariah yang ganjaran pahalanya akan terus mengalir selagi harta yang diwakafkan memberi manfaat kepada masyarakat. Beliau turut menghuraikan bahawa konsep wakaf ialah menghentikan hak pemilikan terhadap sesuatu harta untuk diserahkan manfaatnya kepada orang ramai demi memperoleh keredaan Allah SWT. Menurut beliau, amalan wakaf bukan sahaja menjadi bekalan pahala yang berterusan kepada pewakaf, malah menjadi instrumen penting dalam membangunkan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan ekonomi umat Islam.

Sementara itu, Ustaz Nur Asraf Hashim menjelaskan peranan Bahagian Wakaf MAINJ dalam mengurus, membangun dan memperkasa aset wakaf di negeri Johor agar manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh masyarakat. Beliau turut mengajak umat Islam untuk bersama-sama menyemarakkan budaya berwakaf sebagai satu pelaburan akhirat yang mampu memberi impak besar kepada pembangunan sosioekonomi ummah.

Selepas forum berakhir, program diteruskan dengan penyampaian sumbangan fidyah kepada 25 penerima bagi membantu golongan yang memerlukan. Program turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para dan jemaah yang hadir.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin

https://www.facebook.com/share/14njtPwbBqr/?mibextid=wwXIfr