KUNJUNGAN HORMAT MAINPP PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA MAINJ

posted in: Umum | 0

JOHOR BAHRU, 7 September 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam usaha memperkukuh hubungan serta jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi agama Islam negeri.

Delegasi MAINPP diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Abd Aziz Tajuddin, bersama-sama barisan Ahli Majlis dan pegawai kanan MAINPP.

Kunjungan ini menjadi platform perkongsian pandangan, pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan hal ehwal Islam, khususnya berkaitan pengurusan zakat, baitulmal dan wakaf di Negeri Johor.

Sepanjang sesi tersebut, delegasi MAINPP diberikan penerangan mengenai peranan dan fungsi MAINJ dalam menguruskan kutipan serta agihan zakat kepada golongan asnaf menerusi pelbagai skim bantuan yang disediakan. Perkongsian turut menyentuh usaha MAINJ dalam memperkasakan sistem penyampaian bantuan agar agihan zakat dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan menepati keperluan semasa masyarakat.

Dalam aspek baitulmal, delegasi turut diberikan gambaran mengenai pengurusan harta dan sumber baitulmal serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan yang memberikan manfaat kepada umat Islam di Negeri Johor.

Bagi sektor wakaf, perkongsian memberikan tumpuan kepada usaha MAINJ memperkasakan pengurusan, pembangunan dan pemanfaatan aset wakaf, termasuk pendekatan dalam mengembangkan potensi harta wakaf agar manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi umat Islam.

Pertemuan tersebut turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai cabaran semasa, pendekatan pengurusan serta potensi kerjasama yang boleh diteroka dalam memperkukuh institusi zakat, baitulmal dan wakaf di kedua-dua negeri.

Delegasi turut berkesempatan mengunjungi Media Digital An Nur MAINJ Sdn. Bhd., anak syarikat MAINJ yang mengendalikan platform Radio An Nur MAINJ. Lawatan tersebut memberi pendedahan mengenai usaha MAINJ memperluaskan penyampaian dakwah, informasi dan hebahan kepada masyarakat menerusi medium penyiaran radio serta platform digital.

Selain itu, delegasi turut berkesempatan mengunjungi Bangunan Inkubator Usahawan MAINJ di Danga Bay, Johor Bahru yang menempatkan aktiviti pembangunan dan keusahawanan asnaf, antaranya pembuatan kuih tart sepit dan kek kukus Johor. Inisiatif ini merupakan antara usaha MAINJ dalam memperkasakan ekonomi asnaf menerusi pembangunan kemahiran dan keusahawanan bagi meningkatkan keupayaan menjana pendapatan serta membina kehidupan yang lebih berdikari.

Turut bersama delegasi Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Zairi Haji Mat Ali; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman; serta Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Haji Munir Haji Md. Salleh.

Delegasi disambut oleh Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor, Dato’ Haji M. Tahrir Dato’ Haji Shamsuddin, bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Tuan Haji Shafiei Ahamad.

Hadir sama ialah Timbalan Mufti Negeri Johor, Sahibus Samahah Dato’ Haji Ahmad Faisal Mohamed; Kadi Besar Negeri Johor, Tuan Haji Halid Haji Sono; Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAINJ, Encik Mohd Mackeen Mohd Shafiee; serta Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAINJ, Tuan Haji Azlan Abdullah.

#AmazingMAINJ#MAINJPrihatin