MAINJ TERIMA AMANAH WAKAF MASJID INDIA JOHOR BAHRU

posted in: Wakaf | 0

JOHOR BAHRU, 6 September 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerima penyerahan rasmi wakaf Masjid India Johor Bahru (Masjid Dato’ Haji Ahmad Awang) dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid India Johor Bahru, Jalan Duke, hari ini.

Majlis berkenaan menyaksikan penyempurnaan lafaz wakaf melibatkan tanah dan bangunan masjid bagi tujuan kebajikan agama Islam, masjid dan wakaf awam.

Menerusi lafaz tersebut, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid dengan penuh kerelaan mewakafkan tanah dan bangunan berkenaan kerana Allah SWT untuk selama-lamanya serta menyerahkan pentadbiran wakaf tersebut kepada nazir.

Hartanah yang diwakafkan melibatkan Geran GRN 660507, Lot 3008, berkeluasan 383.225 meter persegi yang terletak di Mukim Bandar Johor Bahru, Daerah Johor Bahru, Johor.

Bagi pihak MAINJ, lafaz penerimaan wakaf disempurnakan Ustaz Nur Asraf Hashim, Penolong Pengarah (Wakaf) MAINJ, sebagai penerimaan amanah untuk mentadbir dan memelihara harta wakaf berkenaan selaras dengan hukum syarak serta tujuan pewakafan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Haji Ikbal Salam, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Turut hadir, Dr. Mohd Firdaus Abdul Hamid, Amin Baitulmal MAINJ Daerah Johor Bahru, barisan pengurusan Masjid India Johor Bahru, pegawai MAINJ serta para jemputan.

Pada majlis yang sama, Perpustakaan Wakaf Masjid India Johor Bahru turut dilancarkan sebagai salah satu usaha memperluas manfaat wakaf dalam bidang pendidikan dan penyebaran ilmu kepada masyarakat.

#AmazingMAINJ#WakafJohor#MasjidIndiaJohorBahru#MAINJPrihatin