JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi pelaksanaan wakalah zakat terus memperluaskan manfaat zakat kepada golongan yang memerlukan melalui penyampaian sumbangan Kotak Rezeki kepada lima keluarga di sekitar Bandar Baru Uda.
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan wakalah zakat Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., pengendali restoran McDonald’s di Malaysia, susulan pembayaran zakat syarikat berkenaan kepada MAINJ.
Penerima yang dikenal pasti melibatkan keluarga di Pangsapuri Muafakat, Pangsapuri Ledang dan Pangsapuri Panti, dengan setiap keluarga menerima sumbangan keseluruhan bernilai RM550, merangkumi wang tunai sebanyak RM250 serta barangan keperluan harian bernilai RM300.
Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Perunding Operasi, Encik Reduan Mahad bersama Pengurus Besar McDonald’s Bandar Baru UDA DT, Puan Zulaika, dengan kerjasama MAINJ dalam menyelaras penyaluran bantuan kepada keluarga penerima yang dikenal pasti.
Pelaksanaan wakalah zakat ini mencerminkan jalinan kerjasama antara MAINJ dan pihak korporat dalam memperluaskan manfaat zakat, sekali gus memberi ruang kepada pembayar zakat untuk bersama-sama menyantuni golongan yang memerlukan secara lebih dekat.
#AmazingMAINJ
#MAINJprihatin
https://www.facebook.com/share/1P5NbCtVZs/?mibextid=wwXIfr






