JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengadakan sesi perbincangan bersama Mados’s Holdings Sdn. Bhd. bagi meneroka potensi kerjasama dalam pengurusan dan pembangunan tanah wakaf berasaskan sektor perladangan di Negeri Johor.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mengoptimumkan penggunaan tanah wakaf melalui pengurusan perladangan yang lebih sistematik, cekap dan berdaya maju bagi menjana hasil serta memastikan manfaatnya dapat disalurkan secara berterusan untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Islam.
Sesi perbincangan dipengerusikan oleh Pengurus Besar Ladang Mados’s, Tuan Kandasamy Kanny. Turut hadir ialah Penasihat Ladang Mados’s, Tuan Haji Abdullah Salleh dan Pengurus Perladangan Wilayah, Tuan Haji Ahmad Johari Haji Idris.
MAINJ diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Haji Shafiei Ahamad bersama Ahli Majlis MAINJ, Tuan Haji Ramly Jusoh.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan, Tuan Mohd Mackeen Haji Mohd Shafiee; Ketua Penolong Pengarah Zakat, Wakaf dan Baitulmal, Haji Azlan Abdullah; Penolong Pengarah Wakaf, Ustaz Nur Asraf Hashim serta Pegawai Undang-Undang, Encik Mohd Khairulnizam Deraman.
Sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di Negeri Johor, MAINJ terus komited memperkukuh pengurusan dan pembangunan aset wakaf secara terancang dan mampan bagi memastikan kelestarian harta wakaf serta kesinambungan manfaatnya kepada generasi kini dan akan datang.


