Kadar Zakat Fitrah 1442H / 2021M

posted in: Umum, Zakat | 1

JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengekalkan kadar zakat fitrah pada tahun ini pada kadar RM7 dan RM10 bagi umat Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanti berkata, penetapan kadar tersebut setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi penetapan dua kadar zakat fitrah berkenaan.

Katanya, kadar pembayaran zakat boleh dibuat menerusi tiga cara iaitu secara atas talian, melalui amil zakat fitrah dan kaunter zakat MAINJ di setiap daerah.

“Tahun lalu, bayaran zakat 100 peratus dibuat menerusi atas talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kami banyak terima aduan dari orang kampung menyatakan kesukaran mereka, maka, tahun ini seramai 1,648 amil telah dilantik seluruh negeri ini dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah.

“Semua pihak termasuk amil dan pembayar zakat mesti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam sidang akhbar di Holiday Villa di sini hari ini.

Kadar zakat fitrah RM7 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super tempatan sementara kadar RM10 pula bagi mereka yang menjadikan makanan hariannya beras selain daripada jenis Super Tempatan (Beras Import) seperti beras Wangi, beras Basmathi dan lain-lain.

Tosrin berkata, pihaknya mensasarkan pungutan zakat fitrah pada tahun ini RM19.9 juta dengan anggaran 2.2 juta umat Islam di negeri ini.

Katanya, sasaran itu mengambil kira keadaan ekonomi semasa dengan nisbah 60 peratus adalah pembayar kadar RM10 dan 40 peratus bagi pembayar kadar RM7.

“Umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah di awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin disempurnakan sebelum hari raya,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, MAINJ memperuntukkan sebanyak RM14.8 juta bantuan hari raya kepada fakir dan miskin pada tahun ini.

Katanya, seramai 33,025 ketua keluarga layak menerima bantuan ini melibatkan 7,846 bagi keluarga fakir dan 25,179 bagi keluarga miskin.

“Selain itu, seramai 10,659 saudara baru dan orang asli menerima bantuan raya RM300 setiap orang dengan jumlah perbelanjaan RM2.2 juta,”katanya.

-UTUSAN ONLINE.

#MainjPrihatin
#KamiAda

One Response