MAINJ SALUR BANTUAN 2 MESIN HEMODIALISIS BERJUMLAH RM76,000 HASIL KUTIPAN SAHAM WAKAF JOHOR

posted in: Wakaf | 0

KOTA TINGGI – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terus melangkah ke hadapan dalam menyalurkan kebajikan kepada masyarakat menerusi Penyerahan Bantuan Dua Mesin Hemodialisis bernilai RM76,000.00 kepada Pusat Dialisis Muafakat, Felda Linggiu, Kota Tinggi.

Sumbangan ini merupakan hasil keprihatinan dan pemberian berterusan masyarakat menerusi inisiatif Saham Wakaf Johor.

Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Azri bin Esa, Amin Baitulmal MAINJ Daerah Kota Tinggi, yang hadir mewakili pihak MAINJ.

Dalam ucapannya, Ustaz Mohd Azri menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penyaluran bantuan berkenaan dan berharap ia dapat memberikan kebaikan jangka panjang kepada para pesakit.

“Alhamdulillah, hasil keprihatinan dan sumbangan masyarakat menerusi Saham Wakaf Johor, MAINJ dapat menyalurkan bantuan dua unit mesin hemodialisis bernilai RM76,000.00 ini. Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban dan menampung keperluan rawatan pesakit di sini. Terima kasih kepada semua pewakaf yang terus menyumbang dalam Saham Wakaf Johor,” ujar beliau.

Hadir sama, Dr. Ab Samad bin Said selaku Pegawai Bertanggungjawab (PIC) Pusat Dialisis Muafakat.

Inisiatif ini membuktikan keberkesanan pengurusan dana Saham Wakaf Johor dalam mentransformasikan sumbangan awam kepada bentuk perkhidmatan kesihatan yang mampu menyelamatkan nyawa serta meningkatkan kualiti hidup komuniti tempatan.